AM

PKPB turunkan kadar jangkitan di Selangor

20/10/2020 11:23 PM

PUTRAJAYA, 20 Okt   -- Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor selama seminggu telah menunjukkan kesan positif dalam menurunkan kadar jangkitan atau R-naught (RO) COVID-19 di negeri itu.  

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar jangkitan di Selangor dapat diturunkan daripada 1.98 kepada 1.48 setakat ini.

“Tetapi kami perlu melakukannya dengan lebih baik tanpa mengubah strategi PKPB yang membenarkan sektor ekonomi berfungsi.  Kami perlu meningkatkannya, mengetatkan sektor sosial seperti sukan dan pendidikan.

Jadi, jika aktiviti sektor sosial digantung sementara untuk satu atau dua minggu, maka saya fikir kami boleh  menambah baik menggunakan strategi PKPB untuk menurunkan RO atau mengurangkan kes,” kata beliau dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini. 

Beliau kemudian menjelaskan lagi keputusan melaksanakan PKPB adalah untuk mendapatkan keseimbangan  yang baik antara kesihatan dan ekonomi selain antara nyawa dan mata pencarian.

“Kami memutuskan kami mengguna pakai  strategi ini dengan menggunakan PKPB dan bukannya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). PKP mungkin  berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kesannya kepada negara semua sektor ekonomi  terhenti seketika.

Jika kami boleh mengurangkan dan mengawal pergerakan orang ramai terutamanya di Selangor, maka ia boleh dijadikan satu bentuk penyelesaian. Tetapi sejauh mana kejayaannya bergantung kepada sekiranya kita boleh duduk di rumah dan kita boleh putuskan rantaian jangkitan,” katanya. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mampu mengesan 90 peratus daripada jangkitan di Selangor  kepada klusternya menerusi aplikasi MySejahtera yang membantu mengekang kes-kes positif.

Beliau berkata aplikasi itu membolehkan KKM mengesan kes positif sama ada di Selangor ataupun di luar negeri itu.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang menjalankan pemantauan rapi ke atas pesakit COVID-19 yang pulih untuk melihat kesan jangka panjang, sambil memberi contoh sama ada parut di dalam paru-paru akan menyebabkan kesesakan nafas. 

Mengenai sama ada pesakit COVID-19 yang pulih menghadapi komplikasi kesihatan, Dr Noor Hisham berkata kesan sampingan mungkin kurang bagi pesakit dengan jangkitan ringan dan tidak bergejala.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sedang membuat kajian dengan melihat kepada antibodi pesakit. 

Katanya antibodi terhadap virus akan terbina selepas seseorang itu dijangkiti, namun persoalannya ialah  berapa lama antibodi itu akan kekal dalam badan. 

Katanya laporan awal menunjukkan selepas lapan minggu antibodi itu akan semakin berkurangan. 

Ditanya mengenai usaha Kerajaan Negeri Selangor yang melaksanakan saringan, Dr Noor Hisham berkata kerajaan negeri itu sepatutnya bekerjasama dengan jabatan kesihatan negeri untuk menyelaras proses saringan dan bukannya melakukannya secara bersendirian.  

Beliau berkata penyelarasan dari jabatan kesihatan negeri dan ibu pejabat adalah satu pendekatan menyeluruh dalam menyelesaikan isu, cabaran dan berkongsi maklumat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan