PUTRAJAYA, 22 Okt -- Majikan tidak boleh memaksa dan mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji susulan arahan bekerja dari rumah yang berkuat kuasa hari ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam satu kenyataan hari ini berkata majikan diingatkan bahawa bayaran gaji adalah seperti biasa walaupun arahan bekerja dari rumah.
Beliau berkata perkara ini selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) ketika pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
"Namun begitu, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa jua tindakan serta keputusan yang diambil demi kepentingan bersama," katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di talian 03-8886 2352 / 03-8886 2409 / 03-8888 9111.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas berkata pekerja di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Okt untuk mengurangkan pergerakan pekerja bagi mengekang penularan COVID-19.
PKPB dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 Okt sehingga 27 Okt, manakala PKPB di Sabah pula dari 13 hingga 26 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial