EKONOMI

Kerajaan umum kemudahan pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar sehingga RM6,000

06/11/2020 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov  -- Kerajaan hari ini mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengeluaran tersebut adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka akan meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Beliau berkata KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.

Katanya, skim berkenaan telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata kerajaan mengunjurkan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion dan ahli yang layak boleh memohon mulai Januari tahun hadapan.

Tengku Zafrul berkata inisiatif lain yang diumumkan bagi meringkan hidup rakyat adalah kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 kepada 9.0 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan