KUALA LUMPUR, 20 Nov -- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) telah melancarkan pakej terbaharu bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i Muamalat Ar-Rahnu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata pelancaran itu memberi peluang kepada pemegang akaun untuk mencagarkan akaun emas mereka bagi memenuhi keperluan tunai segera atau tujuan pelaburan.
Bank Muamalat merupakan institusi kewangan pertama di negara dalam industri pajak gadai Islam yang menawarkan gadaian bercagarkan akaun emas.
“Lazimnya, institusi pajak gadai hanya menerima gadaian dalam bentuk emas fizikal iaitu barang kemas, kepingan emas dan syiling emas. Bagaimanapun menerusi pakej terbaharu ini, pemegang Akaun Emas Muamalat Gold-i boleh mencagarkan akaun emas mereka serendah 10gm atau sehingga RM500,000 jumlah pembiayaan bagi setiap pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul berkata pelanggan pakej bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i akan menikmati margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai akaun emas yang dicagarkan dan kadar keuntungan tetap sebanyak 0.9375 peratus sebulan.
Bayaran ansuran pembiayaan pula adalah setiap enam bulan untuk tempoh sehingga 18 bulan, katanya.
Sehingga 30 September 2020, jumlah pembiayaan yang telah diberikan kepada pelanggan melalui perkhidmatan Pajak Gadai-i, Muamalat Ar Rahnu telah meningkat sebanyak 121.47 peratus tahun ke tahun kepada RM411 juta.
Pelanggan yang membuat gadaian bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i layak secara automatik untuk menyertai kempen ‘Kembara 999 Pajak Gadai-i’ yang telah bermula pada 1 Mei 2020 dan akan berakhir pada 31 Januari 2021.
Kempen ‘Kembara 999 Pajak Gadai-i’ itu menawarkan sebanyak 99 hadiah yang keseluruhan bernilai lebih RM500,000.
Dalam pada itu, Bank Muamalat juga mengumumkan pemenang Hadiah Utama kempen terdahulu mereka, iaitu ‘Jom Pindah Ar Rahnu dan Menang 1Kg Emas’, kempen yang dilancarkan pada 1 Jun 2019 dan berakhir pada 31 Mac 2020 itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.
Hadiah Utama berupa Kepingan Emas 999 seberat 1Kg telah dimenangi Kamariah Ismail, Hadiah Kedua berupa Kepingan Emas 999 seberat 100gm pula dimenangi oleh Jamaliah Mohd Nasir manakala Hadiah Ketiga berupa Kepingan Emas 999 seberat 50gm telah dimenangi Kali Selvan Devadass.
Menerusi kempen itu, Bank Muamalat telah mencatatkan peningkatan 164.88 peratus nilai gadaian bersamaan RM82.44 juta bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i Muamalat Ar-Rahnu sekaligus melepasi sasaran untuk suku pertama tahun 2020 iaitu sebanyak RM50 juta.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat untuk maklumat lanjut mengenai pakej pajak gadai Islam bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i.
Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-26005500.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial