AM

Industri Lombong Tempatan Perkasa Tenaga Kerja Anak Muda

05/04/2026 10:19 AM

TAWAU, 5 April (Bernama) -- Ketika industri perlombongan sering dikaitkan dengan kepakaran asing dan teknologi tertutup, sektor itu kini mula berubah wajah apabila semakin banyak anak tempatan, khususnya golongan muda tampil menguasai kemahiran dan teknologi dalam bidang berkenaan.

Di sebuah lombong emas di Bukit Tundong, Balung dekat sini, golongan muda dilihat menjadi antara tulang belakang operasi apabila majoriti tenaga kerjanya terdiri daripada anak tempatan yang kini mengisi pelbagai peranan termasuk jawatan teknikal.

Southsea Gold Sdn Bhd, sebuah syarikat perlombongan emas berpangkalan di Sabah yang ditubuhkan pada 2008, kini mempunyai kira-kira 300 pekerja dan sekitar 75 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda tempatan berusia bawah 35 tahun.

Pembantu Geologist Shahirah Atirah Lee, 27, berkata minatnya terhadap bidang itu didorong oleh sifatnya yang aktif serta peluang untuk bekerja di lapangan.

Graduan Universiti Malaysia Sabah itu berkata kerjaya sebagai ahli geologi memberikan peluang melihat keseluruhan proses perlombongan selain meneroka pelbagai lokasi.

Shahirah Atirah berkata penglibatan golongan muda dalam industri itu bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu, malah memberi pendedahan kepada bidang yang sebelum ini kurang diceburi anak tempatan.

“Sebenarnya, saya dikira bertuah kerana peluang untuk terlibat dalam industri ini tidak begitu banyak. Di sini saya dapat melihat keseluruhan proses daripada peringkat awal sehingga penghasilan emas.

“Kerjaya geologi juga menarik kerana mempunyai pelbagai cabang termasuk perlombongan, minyak dan gas serta pembinaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan Datuk Lo Fui Ming berkata usaha melatih tenaga kerja tempatan termasuk melalui latihan industri amat penting bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan.

Beliau berkata pendekatan berkongsi teknologi dan kepakaran turut menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih banyak rakyat tempatan dalam industri berkenaan.

“Saya mahu lebih banyak orang datang sini… sekarang saya latih anak-anak muda. Kalau kita tidak latih orang kita sendiri daripada awal, nanti susah untuk kita cari tenaga kerja tempatan yang betul-betul faham industri ini.

“Dulu semasa saya buka perniagaan ini lebih 10 tahun lepas, memang susah untuk mencari tenaga kerja tempatan yang mahir dalam perlombongan emas kerana kebanyakannya dikuasai tenaga kerja luar.

“Saya akan berkongsi 100 peratus pengetahuan dan teknologi ini dengan mereka. Jika anda rakyat Malaysia, saya akan berkongsi dengan anda kerana saya mahu lebih banyak orang datang dan belajar,” katanya.

Pada masa sama, keupayaan teknologi tempatan terus menyerlah apabila syarikat berkenaan mencatat kadar pemulihan emas sehingga 95 peratus, antara yang tertinggi dalam industri serta mampu menghasilkan sehingga 20 kilogram emas sebulan.

Beliau turut menyeru mahasiswa dalam bidang berkaitan seperti geologi dan perlombongan yang berminat untuk menimba pengalaman agar memohon menjalani latihan industri di syarikat berkenaan.

Lo berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor perlombongan dengan lebih 20 kawasan lombong emas dikenal pasti boleh dibangunkan secara berperingkat.

Penyelia Geologi Lombong Norfazilah Ramlan, 36, yang mempunyai lebih 13 tahun pengalaman berkata industri perlombongan di Sabah kini kembali rancak.

Beliau berkata perkembangan itu meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang geologi selain membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda termasuk wanita.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor perlombongan berdasarkan taburan mineral yang luas, namun memerlukan lebih banyak pelaburan bagi membangunkannya secara mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Jurutera Metalurgi Kanan Nor Syahirah Rusdi, 30, berkata industri perlombongan di Sabah membuka peluang pekerjaan yang luas kepada anak tempatan tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama enam tahun berkata sektor itu bukan sahaja menawarkan peluang dalam bidang profesional seperti kejuruteraan dan geologi, malah turut menyediakan pekerjaan kepada tenaga kerja teknikal termasuk operator.

“Industri perlombongan memberi peluang pekerjaan yang baik kepada penduduk tempatan, khususnya di Tawau selain membolehkan mereka bekerja lebih dekat dengan keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan