EKONOMI

SERBA DINAMIK AKAN PERBAIKI GEARAN BERSIH MENERUSI PENEMPATAN PERSENDIRIAN

15/12/2020 03:54 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 15 Dis  -- Serba Dinamik Holdings Bhd menjangkakan cadangan penempatan persendirian kumpulan akan menyaksikan gearan bersihnya berada antara 0.5x dan 0.6x daripada 0.88x sebaik sahaja pelaksanaannya selesai pada Januari 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata keseluruhan pelaksanaan penempatan persendirian itu dijangka selesai pada akhir Januari selepas mendapat kelulusan daripada pemegang saham kumpulan di mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual diadakan pada 20 Jan.

"Serba Dinamik bercadang untuk menerbitkan 336,830,000 saham baharu di pasaran. Pada masa ini, harga sesaham belum lagi ditentukan dan ia akan berdasarkan kepada harga semasa pada tarikh yang akan diberitahu kelak,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Abdul Karim berkata sekiranya harga berdasarkan kepada harga penutupan setakat 7 Dis, 2020 iaitu RM1.95, penempatan persendirian yang dicadangkan itu akan membolehkan Serba Dinamik menjana ekuiti tambahan berjumlah RM656.8 juta.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, Serba Dinamik mengumumkan ia berhasrat mengumpul sejumlah RM515.35 juta daripada penempatan persendirian bagi membayar semula pinjaman bank serta membiayai sebahagian daripada projeknya.

Kumpulan itu berkata ia akan menerbitkan sehingga 336.83 juta saham baharu, mewakili 10 peratus daripada jumlah modal saham terbitan sebanyak 3.37 bilion saham setakat 30 Nov.

Abdul Karim berkata pada masa ini, terdapat tiga penganjur yang berminat untuk turut serta dalam cadangan penempatan iaitu sehingga 3.0 peratus.

“Syarikat turut berharap yang selebihnya daripada pelabur tempatan dan antarabangsa,” tambah beliau.

Daripada cadangan penempatan persendirian itu, RM100 juta akan digunakan sebahagiannya untuk membayar semula pinjaman sebanyak RM626.99 juta, RM100 juta untuk Limbungan Teluk Ramunia kumpulan di Johor dan RM303.46 juta untuk projek-projek di Abu Dhabi. 

Abdul Karim berkata pembinaan kemudahan bangunan di Limbungan Teluk Ramunia dijangka bermula pada suku pertama 2021 dan akan siap pada suku pertama 2022. 

Limbungan Teluk Ramunia, yang diambil alih oleh Serba Dinamik daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Jun tahun ini, akan mempunyai kapasiti sehingga 10,000 tan untuk melakukan fabrikasi keluli dari platform luar pesisir dan struktur-struktur lain pada 2021.

Sebaik sahaja selesai pembinaan pada 2022, limbungan Teluk Ramunia akan mempunyai kapasiti 50,000 tan dan akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan bermula April tahun depan, kata Abdul Karim.

Bagi projek infrastruktur Serba Dinamik di Abu Dhabi, beliau berkata projek-projek itu akan bermula pada tahun hadapan dan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan