GEORGE TOWN, 15 Dis -- Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan penumpang antara bahagian pulau dan tanah besar akan dihentikan bermula 1 Jan depan dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal serta motosikal sahaja.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata perkhidmatan feri itu yang sebelum ini membawa kenderaan empat tayar juga dihentikan bermula tarikh sama.
"Penang Port Sdn Bhd (PPSB) juga akan menjalankan penambahbaikan secara interim bermula 1 Jan tahun depan hingga 30 Jun 2022 dan sepanjang tempoh tersebut dua bot penumpang laju yang mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari, digunakan.
"Sepanjang tempoh itu juga, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dekat sini akan diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di PRTU dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
"Usaha itu dilakukan ke arah menyediakan perkhidmatan feri yang lebih cekap dan terminal yang lebih selesa kepada orang ramai, SPPP juga memberi jaminan tambang yang dikenakan akan kekal seperti sedia ada sepanjang tempoh perkhidmatan interim tersebut," katanya pada sidang akhbar yang turut hadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPSB V. Sasedharan dan Pengurus Besar SPPP Monaliza Suhaimi di sini hari ini.
Katanya selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal, perkhidmatan bot laju itu akan digantikan dengan katamaran atau teksi air dan pengangkut kenderaan iaitu sebanyak tiga katamaran akan disediakan dengan kemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan kepantasan antara 10 hingga 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari.
Tan berkata manakala pengangkut kenderaan yang akan diperkenalkan pula hanya boleh digunakan oleh pengguna basikal dan pembonceng motosikal dengan pengecualian kepada kenderaan empat roda bagi situasi kecemasan sahaja.
"Penggantian kepada bot jenis katamaran ini juga mengambil kira penjimatan yang dapat dilakukan memandangkan bot jenis ini mudah diselenggara berbanding feri sedia ada ketika ini, iaitu kos membaiki sebuah feri mencecah sehingga RM2.2 juta dan kami juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman serta Sweden.
"Keadaan menjadi lebih sukar untuk kami menyelenggara feri sedia ada tahun ini kerana kami turut berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan itu akan dilakukan oleh PPSB kerana syarikat tersebut akan mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah digunakan sejak 126 tahun itu.
"PPSB iaitu ahli kepada MMC Group akan mengambil alih operasi perkhidmatan feri daripada Prasarana Malaysia Berhad iaitu selaras dengan ketetapan Jemaah Menteri pada 18 Dis 2019 namun proses ambil alih bermula Januari tahun ini tertangguh berikutan pandemik COVID-19.
"Jemaah Menteri juga bersetuju supaya Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan dana sebanyak RM30 juta kepada PPSB untuk pembelian empat unit katamaran baharu bagi menggantikan feri. Bermula 1 Jan nanti, bot penumpang laju bagi membawa pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja, tiada lagi perkhidmatan untuk kenderaan empat roda," katanya.
Sementara itu, Tan berkata dua feri yang menjadi ikon dan identiti pelancongan negeri ini akan dijadikan restoran dan muzium terapung di Pelabuhan Tanjung City Marina, di sini bagi memastikan nilai sejarahnya tetap kekal terpelihara.
Katanya usaha itu juga bagi memastikan nostalgia mengenai perkhidmatan feri itu yang sudah beroperasi di Pulau Pinang sentiasa menjadi tarikan khususnya kepada pelancong ke negeri ini.
Menurutnya SPPP juga menjangkakan industri pelancongan akan mendapat manfaat daripada pengenalan perkhidmatan feri baharu ini kerana ia lebih selesa, selamat dan pantas serta mampu membawa sehingga 1.5 juta penumpang seminggu.
Berkenaan kemungkinan berlaku kesesakan jalan raya disebabkan kenderaan empat roda tidak lagi boleh menggunakan feri, katanya perkara tersebut juga tidak akan menjadi masalah kerana negeri ini mempunyai dua jambatan yang boleh digunakan orang ramai untuk menyeberangi antara pulau dan Perai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial