AM

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Jamali Shadat

03/02/2021 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penghibur terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara, menzahirkan rasa sedih dengan pemergian pelawak 'stand up' itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

"Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.

"Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut hantaran yang dimuat naik oleh Istana Negara.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu, cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan dari pelbagai kaum pada zaman kegemilangannya.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan