Oleh Nor Fariza Mohd Razhi
KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara bukan sahaja menjalani kuarantin selama tiga hari tetapi mereka juga tertakluk kepada pengawasan sebelum boleh dilepaskan supaya tidak membahayakan orang ramai, kata peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah.
Beliau berkata tempoh kuarantin terhadap menteri berkenaan juga bukan hanya diwajibkan selama tiga hari, sebaliknya tempoh berkenaan bergantung kepada keadaan individu tersebut sebaik pulang dari luar negara.
Oleh itu beliau berkata dalam hal ini, rakyat perlu sedar dan faham bahawa tidak timbul isu menteri hanya dikuarantin selama tiga hari kerana Warta Kerajaan Persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan dalam laman web Jabatan Peguam Negara pada 8 Feb menyatakan bahawa jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.
"Rakyat harus faham sistem pengecualian hanya boleh diberi kepada mana-mana menteri yang pulang dari luar negara bagi tujuan lawatan rasmi. Lawatan rasmi ini perlu kerana kerajaan yang dibentuk harus mengadakan lawatan seumpama ini untuk mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada di samping memperluaskan ekonomi dan mendapat pelaburan dari negara terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Haaziq menjelaskan bahawa menteri yang melakukan lawatan rasmi ke luar negara semestinya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh negara yang dilawati.
"Terdapat perbezaan antara rakyat biasa dengan menteri yang membuat lawatan rasmi. Bagi rakyat biasa, kita mungkin tidak tahu ke mana dan siapa yang mereka telah berjumpa. Tetapi, lawatan rasmi oleh mana-mana jemaah menteri, mereka perlu mengikut protokol yang ditentukan oleh kerajaan negara yang dilawati. Saya yakin antara protokol yang disyaratkan oleh negara yang dilawati semestinya ketat," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman@Abdullah berkata berdasarkan Seksyen 29 (1) Akta (342) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam warta mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada kuat kuasa mana-mana peruntukan akta tersebut atau mana-mana peraturan di bawah akta berkenaan.
"Seksyen 29 (2) akta sama pula memberikan kuasa kepada menteri untuk membuat perintah di bawah subseksyen 1 mengenakan apa-apa syarat yang difikirkan patut.
“Berdasarkan kuasa menteri di bawah Seksyen 29 inilah, menteri yang kembali daripada lawatan rasmi di luar negara diberi pengecualian dengan hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai berbanding tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan sebelum ini bagi mereka yang masuk dari luar negara," katanya.
Peguam itu berkata walaupun tempoh kuarantin tiga hari diberikan kepada anggota jemaah menteri selepas pulang dari luar negara atas urusan rasmi, namun mereka telah pun melalui SOP kesihatan dan pergerakan yang ketat sebelum mengunjungi negara lain.
Menurut Adnan, tiga hari sebelum anggota jemaah menteri berlepas ke luar negara, mereka akan menjalani ujian swab COVID-19 serta melalui SOP kesihatan dan pergerakan yang ketat kerana akan bertemu rakan sejawatan negara yang dikunjungi.
Bagaimanapun, peguam itu berkata tempoh yang lebih panjang boleh dikaji semula bagi mengelakkan ianya dipolemikkan di samping mempunyai satu standard tempoh kuarantin untuk semua yang pulang ke Malaysia dari negara luar.
Selain itu, Adnan berkata sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia baru-baru ini, pihak Indonesia telah memberikan lampu hijau berkaitan ‘Reciprocal Green Lane/Travel Corridor Arrangement (RGL/TCA)’ atau lebih dikenali sebagai ‘gelembung perjalanan’.
"Maka pengecualian di bawah Seksyen 29 wajar diberikan bagi membolehkan gelembung perjalanan ini diperluaskan kepada negara-negara selain Indonesia terutamanya negara-negara jiran dan Asia Pasifik dan diperluaskan kepada pelbagai sektor terutamanya pelaburan dan perniagaan antarabangsa dengan penetapan SOP yang ketat.
"Sudah sampai masanya gelembung perjalanan ini diperluaskan kerana pandemik COVID-19 dijangka akan berlanjutan lebih lama lagi malah ada yang menjangkakan ia hanya akan benar-benar dapat diatasi beberapa tahun lagi. Kita perlu belajar hidup dalam suasana pandemik dan mematuhi semua SOP dan panduan yang ditetapkan. Hidup mesti diteruskan," katanya.
Peguam itu menegaskan bahawa ekonomi negara dan kehidupan rakyat perlu segera dipulihkan dan diberi perhatian penuh kerana kadar pengangguran akan terus meningkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial