MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan memastikan industri halal dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia meraih manfaat daripada dasar perdagangan dan pelaburan ASEAN apabila negara memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pada masa sama industri halal turut meraih manfaat daripada Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2023 di sini malam ini yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, beliau menekankan mengenai peruntukan berjumlah RM20 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan halal Malaysia di peringkat global.
Menurutnya turut disambut baik adalah langkah penambahbaikan sistem MYeHALAL untuk mengurangkan masa pemprosesan bagi pengeluaran sijil halal kepada antara 15 dan 23 hari berbanding 30 hari, serta pemusatan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan halal antarabangsa di bawah satu platform.
“Selain itu, penggabungan MATRADE dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) adalah langkah strategik untuk memperkukuh sokongan pembangunan dan promosi perdagangan kepada pengeksport halal terutama PKS bagi meningkatkan kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran halal global.
“Akses pasaran untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia juga boleh diperluaskan lagi menerusi rangkaian strategik sebanyak 49 pejabat perdagangan MATRADE di seluruh dunia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2025 turut menyediakan kerangka pembiayaan yang kukuh untuk PKS dalam sektor halal, termasuk nilai jaminan RM1 bilion melalui skim-skim jaminan kerajaan dan pelbagai kemudahan di bawah SME Bank dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035.
“Saya yakin kesemua langkah dasar ini akan meningkatkan piawaian kecemerlangan, kecekapan dan produktiviti dalam industri halal supaya boleh dipelbagaikan dan meraih kelebihan daya saing di arena antarabangsa.
"Industri halal dan sektor eksport yang lebih kukuh akan turut menyokong PKS tempatan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial