PUTRAJAYA, 18 Mac -- Pemilik MyKad palsu perlu menyerah diri atau pulang ke negara asal sebelum kad pengenalan digital (ID digital) diperkenalkan tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata ID digital merupakan kaedah baharu dalam usaha kerajaan membanteras MyKad palsu.
“Mereka yang ada IC (MyKad) palsu perlu balik secepat mungkin ke negara asal masing-masing kerana selepas kita guna kaedah ID digital ini kita boleh kesan mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan tiga buah Bas Mobile Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang meneliti cadangan berkaitan pelaksanaan Inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) bagi memperkukuh keselamatan MyKad sedia ada.
Mengenai bas mobile JPN generasi baharu yang dilengkapi kemudahan mencetak MyKad untuk kegunaan JPN ketika program komuniti, Hamzah berkata pelanggan yang mempunyai urusan permohonan MyKad boleh mendapatkannya pada hari sama di lokasi bas tersebut beroperasi.
Ketika ini, JPN mempunyai tujuh buah bas sedemikian iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak manakala tiga di Semenanjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial