AM

Penggunaan kalimah Allah dalam Bible dilarang di Selangor - Sultan Sharafuddin

23/03/2021 05:01 PM

SHAH ALAM, 23 Mac  -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin menegaskan dan mengulangi pendirian baginda bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Baginda bertitah sedemikian sebagai merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill melawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dan setelah membaca penghakiman penuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Mac lalu.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun demikian sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan ‘Tuhan’ tersebut,” titah baginda dalam kenyataan tersebut.

Penegasan Sultan Sharafuddin juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan  dalam Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Feb 2010, yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

Titah baginda, adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan, terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Selangor, untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Selangor, sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah seperti mana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), yang diwartakan pada 7 Julai 1988,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah larangan tersebut termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam, bagi tujuan komersial dan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

Baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor bertitiah akan tetap mempertahankan kesucian kalimah Allah, kerana ia menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab baginda seperti dalam firman Allah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah, yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing, yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam, khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyokong penuh titah Sultan Johor, yang meminta kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan