AM

Kesalahan ekzos bising hanya dikenakan tindakan advokasi setakat ini - Wee

28/03/2021 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac  -- Buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Wee yang juga Presiden MCA berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh beliau kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman. 

"Saya telah meneliti ucapan Presiden (UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) termasuk pandangan beliau tentang penguatkuasaan terhadap ekzos bising motosikal. 

"Saya ingin maklumkan bahawa MOT (Kementerian Pengangkutan) telah membuat satu keputusan, bahawa pada peringkat ini lebih elok tumpukan kepada pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114 daripada tindakan saman," katanya kepada media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020, di sini hari ini,

Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.

Dalam  pada itu, Wee berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengadakan pertemuan dengan  Ketua Pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut memandangkan langkah berkenaan turut melibatkan polis trafik.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Setakat 5 Mac lalu, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubah suai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Isu itu disentuh oleh Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi yang berkata beliau dimaklumkan tentang motosikal disita kerana ekzos yang diubah suai. 

"Janganlah sampai disita. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki. Apakah kita sudah buta hati, dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana," kata Ahmad Zahid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan