EKONOMI

Pengerusi CBRE|WTW Mohd Talhar bersara pada 1 April

30/03/2021 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac -- CBRE|WTW mengumumkan bahawa Pengasas merangkap Pengerusinya, Mohd Talhar Abdul Rahman akan bersara pada 1 April, 2021. 

Dalam kenyataan pada Selasa, syarikat itu turut merakamkan penghargaan di atas kepimpinan Mohd Talhar sebagai pengerusi bagi tempoh 40 tahun selain menjadi pengarah paling lama selama 47 tahun.

“Legasi beliau dengan manfaatnya turut diraih oleh syarikat dan industri, akan terus dikenang serta dihargai. Persaraan ini juga adalah rentetan daripada pencapaian di sepanjang kerjaya beliau,” kata CBRE|WTW. 

CBRE|WTW yang ditubuhkan pada 2016, bertitik tolak daripada usaha pada 1960 apabila mendiang Colin Williams mewujudkan Jururukur, Jurunilai Bertauliah dan Ejen Harta Tanah C H Williams & Co di Kuala Lumpur. 

Pada 1974, syarikat tersebut bergabung dengan Talhar & Co, sebuah firma juruukur dan jurunilai bertauliah yang ditubuhkan oleh Mohd Talhar di Johor Bahru dan turut disertai oleh Datuk Wong Choon Kee daripada C H Williams & Co.

Susulan itu, WTW diasaskan dengan Williams menyandang jawatan sebagai pengerusi.

Selepas beliau bersara, jawatan itu diambil alih oleh Mohd Talhar yang diteruskan dengan CBRE|WTW.

Mohd Talhar juga adalah antara barisan pertama menganggotai Lembaga Penilai, Pentaksir, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (BOVEAP) serta pernah memegang jawatan dalam Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan antara pengasas Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Tanah Dan Perunding Harta Tanah Swasta Malaysia (PEPS) serta menjadi presiden pertamanya.

Beliau juga pernah berkhidmat selama beberapa tahun sebagai wakil Malaysia dan ahli Lembaga Pengurusan Majlis Piawaian Penilaian Antarabangsa (IVSC) dan anggota jawatankuasa Persatuan Penilai ASEAN (AVA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan