KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Dua inisiatif hijau baharu Arab Saudi “Green Saudi” dan “Green Middle East” yang dilancarkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Ahad (28 Mac) bertujuan menetapkan hala tuju usaha melindungi alam semula jadi negara itu serta Semenanjung Arab.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Kedutaan Arab Saudi di sini, hari ini berkata inisiatif itu bertujuan memberikan gambaran lebih jelas ke arah menyumbang kepada pencapaian sasaran global untuk menangani perubahan iklim.
"Pengumuman ini bertujuan menggabungkan usaha negara di rantau itu menghasilkan rancangan terperinci untuk inisiatif yang dapat dicapai bagi meningkatkan kesihatan awam dan kualiti hidup rakyat serta penduduk di wilayah ini pada suku tahun ini,” kata kenyataan itu.
Inisiatif “Green Saudi” itu satu wawasan untuk meningkatkan kualiti hidup dan melindungi generasi akan datang.
Ia merangkumi usaha menanam pokok, mengurangkan pelepasan karbon dan merancang projek tenaga boleh baharu yang akan meningkatkan perkongsian tenaga bersih dalam negara kepada 50 peratus menjelang 2030.
Sementara inisiatif “Green Middle East” pula bertujuan menyelaraskan usaha pembangunan wilayah dan antarabangsa, dilancarkan kerajaan sebagai panduan untuk wilayah tersebut menyumbang secara signifikan terhadap sasaran global untuk menangani perubahan iklim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial