EKONOMI

IMF kekal pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini pada 6.5 peratus

06/04/2021 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 April -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengekalkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada 6.5 peratus dalam laporan terbarunya, World Economic Outlook (WEO) yang diterbitkan hari ini.

Laporan yang bertemakan "Managing Divergent Recoveries" turut menyatakan bahawa ekonomi negara diramal berkembang pada kadar 6.0 peratus menjelang 2022. 

IMF menjangkakan kadar pengangguran negara akan turun kepada 3.8 peratus tahun ini sebelum jatuh lagi kepada 3.6 peratus pada 2022, berbanding 4.5 peratus semasa 2020.

Dalam Laporan Negaranya yang dikeluarkan pada bulan lepas, IMF mengunjurkan pertumbuhan Malaysia melantun semula kepada 6.5 peratus pada 2021, didorong oleh pemulihan kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan termasuk kesan pelaksanaan vaksinasi pada Februari. 

Sementara itu, IMF mengunjurkan ekonomi global akan berkembang 6.0 peratus pada 2021 dan menyederhana kepada 4.4 peratus menjelang 2022, selepas anggaran penguncupan sebanyak –3.3 peratus pada 2020.

"Penguncupan semasa 2020 adalah 1.1 mata peratusan lebih kecil daripada yang diunjurkan oleh WEO Oktober 2020, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada separuh kedua 2020 bagi kebanyakan wilayah selepas sekatan dilonggarkan.

"Unjuran bagi 2021 dan 2022 adalah 0.8 mata peratusan dan 0.2 mata peratusan yang lebih positif daripada ramalan sebelumnya, mencerminkan sokongan fiskal tambahan dalam beberapa ekonomi besar dan jangkaan pemulihan yang digerakkan oleh vaksinasi pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Pergerakan ini mencerminkan penyesuaian berterusan oleh semua sektor ekonomi terhadap persekitaran kesihatan yang mencabar. 

Katanya, kekuatan unjuran pemulihan adalah berbeza-beza di seluruh negara, bergantung kepada tahap krisis kesihatan, kesan gangguan domestik kepada aktiviti (berkaitan kebergantungan negara terhadap sektor yang berintensifkan sentuhan), pendedahan kepada aktiviti rentas sempadan dan yang penting, keberkesanan sokongan dasar bagi mengimbangi kerosakan yang berterusan.

"Selepas 2022, pertumbuhan global diunjurkan sederhana kepada 3.3 peratus dalam jangka pertengahan. Kerosakan berterusan ke atas pembekalan merentasi ekonomi pasaran maju dan baru muncul termasuk pertumbuhan tenaga buruh yang lebih perlahan disebabkan penuaan penduduk (sebahagian besarnya dalam ekonomi maju serta beberapa ekonomi pasaran baru muncul) dan keperluan pengimbangan semula bagi pertumbuhan yang mampan di China, dijangka akan memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan untuk ekonomi global dalam jangka sederhana. 

"Tahap KDNK majoriti negara diunjurkan kekal baik di bawah aliran sebelum pandemik sehingga 2024,” tambahnya.

Menurut IMF lagi, untuk kumpulan serantau Asia Baru Muncul dan Membangun, unjuran bagi 2021 telah disemak semula sebanyak 0.6 mata peratusan, mencerminkan pemulihan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan selepas sekatan dilonggarkan dalam beberapa negara besar seperti India. 

"Bagaimanapun, kes COVID-19 yang masih tinggi di beberapa negara pada suku pertama 2020: (seperti Indonesia dan Malaysia) masih menjadi penghalang kepada prospek pertumbuhan," katanya.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan