AM

200 usahawan aplikasi amalan I4.0 dalam pertanian terima pembiayaan RM100,000

08/04/2021 10:24 AM

PUTRAJAYA, 8 April -- Seramai 200 usahawan pertanian yang berpotensi mengaplikasi pertanian moden dan pintar selaras amalan teknologi industri 4.0 (i4.0) akan menerima pembiayaan kewangan maksimum RM100,000 seorang, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) diberi peranan mengenal pasti usahawan-usahawan berkenaan untuk dibimbing, dilatih dan diberikan bantuan teknikal bagi merancakkan lagi i4.0 dalam sektor pertanian, manakala Agrobank pula menyediakan pembiayaan kewangan RM20 juta.

Katanya usahawan terpilih akan dibimbing menerusi cabang akademi MTDC seperti Technopreneur Training Academy (TENTRA) untuk latihan keusahawanan dan Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk kemudahan latihan bersama jurulatih berpengalaman bagi setiap latihan dan keperluan solusi i4.0.

“Pendekatan ini dibuat oleh kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian yang berlatarbelakangkan kepada penggunaan teknologi.

“Kita harap agar anak muda mengambil manfaat dan peluang dengan dana RM20 juta yang dibuat khusus untuk lahirkan usahawan pertanian moden,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Agrobank dan MTDC di sini Rabu.

Agrobank diwakili oleh Penanggung Tugas Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Khadijah Iskandar manakala MTDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus.

Mengulas lanjut, Ronald berkata pelbagai bentuk latihan termasuk sesi perkongsian ilmu bakal dikendalikan oleh Agrobank dan MTDC untuk merancakkan lagi penggunaan teknologi industri 4.0 dalam kalangan usahawan.

“Amalan teknologi moden dan pintar bakal menjadi masa depan di landskap sektor pertanian, dan saya gembira kerana akhirnya visi ini akan direalisasikan menerusi kerjasama ini bagi menyokong pembangunan industri pertanian,” katanya. 

Katanya usahawan akan diperkenalkan kepada penggunaan robot dalam amalan pertanian pintar yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi malah membantu menguruskan perniagaan yang dengan lebih baik. 

“Pertanian pintar mempunyai potensi besar untuk menyediakan hasil pertanian yang lebih produktif dan secara mampan,” kata Ronald.

Sementara itu Norhalim berkata penggunaan teknologi akan menarik golongan muda untuk menjadi usahawan dalam sektor pertanian.

“MTDC akan mengenal pasti usahawan yang layak dan kita akan beri bimbingan tentang bagaimana mereka perlu menguruskan tanaman bermula daripada pemilihan benih sehingga cara menjual produk yang dihasilkan,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan