EKONOMI

SERBA DINAMIK TAWAR PUSAT SEHENTI BAGI PERKHIDMATAN KESELAMATAN SIBER, PRIVASI DIGITAL

12/04/2021 05:49 PM

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR, 12 April -- Serba Dinamik Group Bhd menerusi cabang keselamatan sibernya menawarkan platform digital konvergen yang menumpukan kepada perkhidmatan keselamatan siber dan privasi digital, dikenali sebagai E-Security and Privacy Channel (ESPC).

Naib Presiden Kanan (Keselamatan Siber) Profesor Madya Kolonel (B) Datuk Ts Dr Husin Jazri berkata ESPC bertujuan menyediakan pusat sehenti untuk semua keperluan keselamatan siber dan privasi dan membantu seramai mungkin pelanggan di Malaysia dan antarabangsa.

Beliau berkata platform digital ESPC yang beroperasi sejak 1 Jun tahun lepas mempunyai banyak komponen perkhidmatan strategik yang berinteraksi antara satu sama lain dengan lancar di bawah platform digital https://www.espc2go.com.

“Komponen strategiknya merangkumi perkhidmatan media dan kewartawanan dalam talian, perkhidmatan studio penerbitan pencahayaan siklorama hijau dan biru, perkhidmatan penstriman web studio pencerminan skrin LED, perkhidmatan pembelajaran dan pendidikan sepanjang hayat, perniagaan dan pasaran, perkhidmatan libat urus komuniti dan penyelidikan dan pembangunan bagi perkhidmatan pengkomersialan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Husin yang juga Ketua Editor ESPC berkata, sehingga kini, platform digital sehenti itu telah mempunyai lebih 30 rakan niaga strategik di peringkat tempatan dan luar negara dan mereka beroperasi dengan aktif di dua lagi negara iaitu Australia dan Indonesia.

Sementara itu, dalam usaha menyediakan tunjang kepada pendidikan terbuka sepanjang hayat ESPC dalam keselamatan siber dan privasi, Husin berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY) iaitu rakan strategik utama bagi platform digital ESPC.

“Dalam bidang pendidikan, ESPC berusaha ke arah menjadi universiti realiti maya yang kukuh bagi keselamatan siber dan privasi menerusi kerjasama dengan UNIMY dan rakan strategik industri yang relevan,” katanya.

Bagi mencapai hasrat ini, beliau berkata Blok 13 UNIMY akan menempatkan beberapa perkhidmatan dan teknologi termaju ESPC seperti pusat latihan dan simulasi rangkaian siber, pusat operasi sekuriti, perkhidmatan forensik digital, perkhidmatan analisis perisian hasad, perkhidmatan kanak-kanak dan perlindungan dalam talian dan studio digital virtual termaju.

Menurutnya, kemudahan itu yang akan dilengkapkan dalam masa dua bulan akan memanfaatkan penuntut UNIMY melalui perkhidmatan ESPC dan menyediakan peluang besar kepada mereka untuk terlibat dalam projek nyata di bawah pemantauan yang rapi.

“Sebaik sahaja mereka terlibat dalam aktiviti ESPC, mereka akan menjadi sebahagian daripada keluarga ESPC, walaupun selepas memperoleh ijazah. ESPC akan menjadi teman baik sepanjang hidup dalam usaha kerjaya berkaitan keselamatan siber dan privasi.

“Serba Dinamik dan UNIMY boleh bekerjasama dalam ekosistem yang lancar yang mana bakat baharu dalam UNIMY boleh dipersiapkan untuk menghadapi cabaran hidup melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan amali di kemudahan keselamatan siber Serba Dinamik dan kemudahan pengkomputeran dan kejuruteraan lain yang berkaitan di Cyberjaya,” katanya.

Husin berkata peluang untuk terlibat dalam platform dan projek digital ESPC adalah tidak terhad kepada penuntut bidang keselamatan siber sahaja, malah turut diperluaskan antaranya kepada penuntut sekolah kreatif digital dan reka bentuk interaktif serta sekolah perniagaan dan kejuruteraan. 

Beliau berkata, kemudahan keselamatan siber yang disediakan oleh Serba Dinamik di Cyberjaya, dari masa ke masa, akan meningkatkan lagi nilai kepada graduan UNIMY dan menjadikan program pendidikan di universiti itu lebih menarik dan relevan kepada keperluan kejuruteraan dan sains komputer Revolusi Perindustrian Keempat.

Husin berkata, adalah penting untuk penuntut keselamatan siber UNIMY untuk berusaha mendapatkan pengalaman amali dan praktikal sebanyak yang mungkin agar menjadi cekap dan boleh dipasarkan.

“Menyertai pertandingan keselamatan siber, khidmat masyarakat dan penglibatan nyata dalam menubuhkan perniagaan pemula niaga dan NGO (badan bukan kerajaan) adalah antara kunci kepada peluang pekerjaan. Gaji akan berbeza mengikut kepentingan peranan mereka di pasaran.

“Berita baiknya adalah permintaan pekerjaan bagi profesional keselamatan siber adalah lebih tinggi berbanding sudut penawaran dan tempat kerja global boleh menjadi peluang kepada mereka sekiranya graduan ini terbukti sangat praktikal dan bersikap positif,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan