AM

Agensi berkaitan perlu bersepadu tangani isu hasil laut dirompak - MAFI

15/04/2021 07:13 PM

KOTA BHARU, 15 April  -- Isu negara kehilangan hasil sumber laut bernilai lebih RM4.25 bilion setiap tahun akibat pencerobohan nelayan asing perlu ditangani secara bersepadu oleh agensi yang berkaitan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Perikanan sentiasa mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras kegiatan yang kerap kali berlaku itu.

"Laut China Selatan berkongsi perairan dengan Singapura, Vietnam, Indonesia dan Kemboja mengikut sempadan masing-masing dan tak dinafikan laut Malaysia menjadi tumpuan kerana mempunyai sumber perikanan yang baik.

"Kita akui masih ada kes nelayan asing yang menceroboh ke kawasan perairan negara lain, sepertimana yang berlaku di Malaysia. Isu ini dilihat menjadi isu nasional yang perlu ditangani secara bersepadu oleh pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan ke Hatcheri Ternakan Ikan Air Payau milik seorang penternak ikan Muhammad Mohd Yusoff di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Che Abdullah berkata demikian semasa menjawab isu RM4.25 bilion hasil laut negara dirompak nelayan asing setiap tahun yang didedahkan Jabatan Perikanan dalam sebuah akhbar tempatan, semalam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan