DUNIA

Isu Rohingya perlu ditangani dengan teliti, elak kebanjiran pelarian - Hishammuddin

20/04/2021 12:14 AM

Oleh V. Sankara Subramaniam

KUALA LUMPUR,19 April  -- Isu Rohingya harus ditangani dengan teliti untuk mengelakkan kebanjiran lebih ramai pelarian ke Malaysia dan negara jiran, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Di Malaysia, kami mempunyai 200,000 Rohingya ... cuba anda bayangkan andai keadaan di Myanmar bertambah buruk dan lebih ramai yang akan datang ke negara kami.

Hishammuddin berkata beliau dan rakan dari ASEAN telah berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang melanda negara itu sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.

"Daripada keseluruhan 80 peratus pelarian dunia yang beragama Islam Rohingya hanya mewakili satu peratus saja," katanya ketika merasmikan mesyuarat ketua-ketua misi anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini hari ini.

Sementara itu mengenai peningkatan Islamofobia Hishammuddin berkata ia telah mencetuskan kebimbangan apabila umat Islam menjadi sasaran fitnah dan prasangka buruk.

"Sesungguhnya, Islamofobia menjerat dunia dalam kitaran keganasan. Akibatnya mencetuskan kebencian berterusan," katanya, sambil menambah banyak masalah dihadapi dunia Islam adalah berpunca daripada diri mereka sendiri.

Hishammuddin berkata ada tanggapan menyatakan keganasan dan ekstremisme global berkurangan  kerana dibayangi COVID-19 memandangkan media lebih menumpukan kepada berita mengenai pandemik.

"Sejak setahun lalu, kita begitu sibuk dengan COVID-19 tetapi keganasan dan ekstremisme tidak pun kurang.  

"Memang benar kita berjaya menangani dua gelombang serangan pengganas global sejak dua dekad  lalu, tetapi kita tidak berjaya menangani akar umbinya,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata akses kepada vaksin adalah elemen hak asasi manusia yang harus dihormati, dilindungi dan dipenuhi serta tidak boleh wujud unsur diskriminasi.

"Malaysia percaya bahawa sesebuah negara tidak boleh mendiskriminasi orang yang sudah divaksin berdasarkan jenis vaksin yang mereka diterima," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan