AM

Alumni Convent Bukit Nanas sampaikan penghargaan

23/04/2021 12:46 AM

KUALA LUMPUR, 22 April -- Selepas berhempas pulas berusaha menyelamatkan SMK Convent Bukit Nanas (CBN) daripada dirobohkan, komuniti sekolah dan pemegang taruhnya kini boleh menarik nafas lega susulan pengumuman kerajaan untuk melanjutkan tempoh pegangan pajakan tapak sekolah itu yang akan tamat 6 Sept ini, bagi tempoh sehingga 60 tahun.

Timbalan Presiden Alumni CBN Junaidah Ishak dalam menyampaikan ucapan penghargaan tidak terhingga terhadap sokongan ramai sehingga berjaya menarik perhatian kerajaan, berkata beliau menganggap ia sebagai hadiah cukup bermakna daripada kerajaan.

"Penat lelah kami (Alumni CBN) yang bekerja keras, terutama sejak tiga hari lepas, akhirnya membuahkan kejayaan. Kami benar-benar hargai sokongan yang diterima dari pihak media - TV, radio dan portal berita dalam talian. Petisyen #saveconventbukitnanas mendapat tanda tangan hampir 70,000 individu, ia bagaikan kempen seluruh negara.

"Kami harap langkah penyenaraiannya sebagai tapak warisan akan berjalan lancar, dan CBN akan dapat terus mengekalkan nilai-nilai etosnya dan terus melahirkan wanita yang luar biasa untuk pembangunan negara kita di tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa, persetujuan lanjutan tempoh itu dibuat setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas, kepada pendidikan negara sejak 1899.

“Kebenaran ini diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja. Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali  bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya, telah mengadakan pertemuan dengan Lady Superior of the Society of Saint Maur Sr Theresa Chua Siu Yan, yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas dan kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.

Berita mengenai sekolah itu mendapat perhatian ramai sejak Isnin selepas Mahkamah Tinggi di sini memberi kebenaran kepada Lady Superior of Saint Maur (yang menguruskan sekolah) untuk memulakan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar ketetapan berkaitan tempoh pajakan tanah tidak diperbaharui.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memberi kebenaran itu bagi membolehkan hujahan penuh semakan kehakiman didengar, dan menetapkan tarikh 4 Mei bagi mahkamah mendengar permohonan pengantungan inter-parte (antara pihak).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan