AM

Lupakan hasrat curi balik kampung - Polis Perak

30/04/2021 01:35 PM

IPOH, 30 April  -- Orang ramai yang ingin mencuba nasib merentas negeri tanpa kebenaran terutama ke arah negeri-negeri di Pantai Timur diingatkan agar melupakan hasrat mereka itu kerana polis Perak akan mengetatkan kawalan di laluan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pemeriksaan lebih ketat kini dikuatkuasakan di semua sekatan jalan raya (SJR) kerana ramai dipercayai tetap berdegil mahu bergegas pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut perayaan.

"Sempadan antara Perak dan Pahang terutamanya di Jalan Cameron Highlands di sini adalah laluan utama mereka untuk melakukan perjalanan pulang ke Kelantan dan Pahang.

“Jadi, pemeriksaan dibuat dengan lebih ketat," katanya pada sidang media Program Singgah Sahur Ketua Polis Perak ke Daerah Ipoh di SJR berkenaan awal pagi ini.

Beliau berkata orang ramai diingatkan supaya tidak melanggar larangan dikenakan termasuk cuba memalsukan surat kebenaran rentas negeri kerana polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun serta mengarahkan mereka berpatah balik.

Menurutnya, polis Perak telah mengeluarkan 120 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 1 April hingga Rabu lepas dengan kadar pematuhan sebanyak 96 peratus.

Bagaimanapun, bagi yang pulang ke kampung di dalam negeri susulan diberi kebenaran merentas daerah, mereka digalakkan supaya memaklumkan bilik gerakan daerah untuk pemantauan menerusi sistem aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang membolehkan polis bersiapsiaga termasuk rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, katanya.

Terdahulu, sebanyak 100 petugas barisan hadapan menerima sumbangan biskut raya daripada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) yang mengikuti program berkenaan di SJR Jelapang, Ampang, Plaza Tol Simpang Pulai dan Jalan Cameron Highlands serta beberapa balai polis.

Presiden PPMP Sayed Hesham Idris berkata program julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pengamal media bersama pihak polis yang saling memerlukan kerjasama dalam melaporkan berita mengenai kejayaan polis dan jenayah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan