AM

Prasarana Buat Laporan Polis Kes Pergaduhan Penyokong Di Stesen LRT

21/12/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat satu laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling, malam tadi.

Dalam kenyataan hari ini, Prasarana memaklumkan bahawa laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Sungai Besi.

“Prasarana sedang bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.

“Prasarana amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan insiden pergaduhan yang berlaku pada 12 tengah malam tadi telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Insiden berkenaan bagaimanapun berjaya dileraikan oleh pasukan polis bantuan Prasarana yang membawa kumpulan penyokong terlibat keluar dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan bagi mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya.

“Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

“Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian tersebut berkata insiden pergaduhan berkenaan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah, dan menendang pintu tren hingga menyebabkan kerosakan.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Kita mohon mereka yang terlibat tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan