AM

MARDI perkenal formulasi baharu pertanian dan penternakan, terbit dua buku

31/05/2021 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei  -- Bagi merancakkan industri pertanian dan penternakan sekali gus menjamin sekuriti makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini memperkenalkan teknologi baharu antaranya Formulasi Makanan Ayam MARDI dan penjenamaan Ayam Kampung MARDI sebagai Ayam Saga.

Selain itu, Telur Pereka Diperkaya Xantofil turut diperkenalkan di samping penerbitan dua buah buku bertajuk “Padi Disemai, Hasil Dituai” dan “Liberalisasi Import Pertanian – Impak, Implikasi dan Potensi”.

“Formulasi Makanan Ayam MARDI dirumus berpandukan kepada spesifikasi keperluan nutrien dan nilai kehadaman setiap bahan mentah yang telah ditentukan dalam kajian pemakanan ke atas Ayam MARDI bagi setiap fasa tumbersaran dan pembiakan.

"Ini bagi memastikan nutrisi yang dibekalkan dapat diserap dan digunakan secara optimum dalam Ayam MARDI," kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

MARDI berkata empat formulasi terbabit ialah formulasi makanan ayam MARDI untuk pengeluaran daging, formulasi makanan ayam MARDI (pengeluaran telur), formulasi makanan pembaka ayam MARDI dan formulasi makanan ayam kampung berasaskan hampas isirung sawit (PKE), ditambah enzim (PKFeed Plus).

Menurut kenyataan itu, penjenamaan semula Ayam Kampung MARDI sebagai Ayam Saga yang mana baka Ayam Saga ini telah dihasilkan melalui kajian penyelidikan di MARDI bermula pada 2008.

Hasil daripada kajian awal di MARDI, empat strain ayam kampung telah berjaya dihasilkan iaitu Alfa, Beta, Gamma dan Tetta, dan baka ayam kampung ini telah diperkenalkan pada MAHA International 2012.

Kenyataan itu menyebut ciri-ciri fenotipik Ayam Saga baka ini  mirip kepada ayam kampung asli di Malaysia namun pertumbuhannya lebih seragam dan sesuai diternak secara separa intensif atau lepas bebas di bawah ladang kelapa sawit, getah atah buah-buahan.

MARDI berkata pemeliharaan serta pemakanan bagi baka ini juga lebih mudah dan ringkas berbanding dengan ayam pedaging.

Telur Pereka Diperkaya Xantofil pula dibangunkan dengan penggunaan formulasi makanan vegetarian dan karotenoid semula jadi tanpa antibiotik, dan telur tersebut mempunyai lutein dan zeaxantin sekurang-kurangnya empat kali ganda lebih banyak daripada telur biasa.

"Antara kelebihan telur ini adalah melindungi daripada penyakit mata seperti age-related macular degeneration (AMD), katarak dan lain-lain,” kata MARDI.

Mengenai penerbitan buku  yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI diketuai Dr Asfaliza Ramli, buku Padi Disemai, Hasil Dituai menyorot industri padi dan beras di Malaysia bermula zaman sebelum penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu hinggalah ke era moden kini. 

Tujuan utamanya adalah untuk memaparkan episod-episod penyelidikan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh MARDI dalam  membantu negara mencapai keseimbangan bekalan padi dan permintaan beras oleh rakyat. 

Buku bertajuk Liberalisasi Import Pertanian – Impak, Implikasi dan Potensi diterbitkan oleh kumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi, Risikan Pasaran dan Agribisnes MARDI diketuai Dr Roslina Ali.

Buku berkenaan adalah satu usaha dan inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) dan MARDI untuk menilai impak liberalisasi kuota import ke atas keluaran pertanian serta potensi dan implikasi liberalisasi ke atas cadangan keluaran pertanian.

Kesemua teknologi dan pelancaran penerbitan buku itu disaksikan secara dalam talian oleh Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Hamzah yang mewakili Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersempena penganjuran Webinar Sekuriti Makanan Negara 2021 baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan