AM

Ramli gembira jadi 'pengantara' sampai maklumat vaksin dalam dialek Jahai

04/07/2021 11:36 AM

JELI, 4 Julai -- Tiada yang lebih menggembirakan seorang lelaki Orang Asli, Ramli Lanas, 52, apabila berpeluang menjadi 'pengantara' untuk memujuk suku kaum Jahai mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Ramli diberikan tanggungjawab oleh Jabatan Penerangan (Japen) Negeri Kelantan untuk membantu menyampaikan maklumat serta pesanan berhubung kepentingan vaksinasi dalam bahasa etnik Jahai kepada penduduk di sekitar kampungnya iaitu Kampung Sungai Rual, di sini semalam.

Keterlibatannya melalui kempen Info On Wheels itu amat berharga buat dirinya kerana menjadi sebahagian petugas yang membantu pihak berkuasa untuk membentuk imuniti kelompok sekali gus membendung penularan COVID-19 terutama dalam kalangan Orang Asli.

"Cara ini sangat bagus kerana ia mampu meningkatkan kesedaran Orang Asli mengenai kepentingan suntikan vaksin, malah mungkin dapat meyakinkan mereka untuk divaksinasi. Tambahan pula, ada sesetengah penduduk kampung terpengaruh dengan hasutan orang luar yang mendakwa vaksin ini beri kesan bahaya sehingga boleh mati.

"Secara tidak langsung juga, saya dapat menasihati dan mengingatkan mereka tentang pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung jangkitan COVID-19," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual di sini.

Ramli antara 230 Orang Asli kampung itu yang  telah menerima suntikan vaksin dos kedua pada program outreach dan dia merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta Pusat Khidmat Parlimen Jeli kerana melaksanakan program yang memudahkan kira-kira 400 penduduk di kampung itu.

Turut hadir membuat tinjauan pada program outreach berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Japen Negeri Kelantan Azahar Ismail.

"Apabila lebih ramai antara kami telah divaksinasi, jadi saya lebih yakin sebab rasa 'dilindungi' daripada dijangkiti wabak COVID-19," kata Ramli sambil berkongsi pengalamannya bahawa dia tidak mengalami sebarang kesan serius selepas menerima suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Azahar berkata selain mempergiatkan penyampaian maklumat berkenaan kepentingan vaksinasi, pihaknya turut memperbanyakkan kempen Info On Wheels di seluruh negeri itu terutama di kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

"Contoh, apabila kita berada di kawasan masyarakat Orang Asli, kita menggunakan khidmat dalam kalangan mereka yang kita pilih mampu untuk menyampaikan mesej (dalam bahasa Orang Asli).

"Kita menyediakan talking point bagi menyedarkan masyarakat untuk mendaftar dan menerima vaksin dan mereka (Orang Asli) turut sama membuat hebahan menggunakan unit kenderaan jabatan," katanya sambil memaklumkan Info On Wheels sedemikian juga telah dilaksanakan di beberapa perkampungan Orang Asli seperti di Pos Hau, Gua Musang, sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mustapa memohon kepada pihak berkuasa terlibat untuk meningkatkan bekalan vaksin serta turut meminta agar program outreach vaksinasi ditambah di Parlimen Jeli bagi mempercepat proses pemvaksinan kepada 33,200 penduduk di kawasan tersebut.

"Setakat ini, yang terima suntikan vaksin dos pertama 9,354 individu maknanya kira-kira 24,000 lagi belum terima, manakala dos kedua 6,020 individu.

"Jadi harapan saya selaku Ahli Parlimen supaya ditingkatkan bekalan vaksin yang merupakan permohonan popular daripada rata-rata Ahli Parlimen lain seperti saya juga selaku Ahli Parlimen pedalaman agar diberi perhatian lebih kepada kawasan ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan