AM

Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua PPN awal Ogos - TPM

14/07/2021 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

"Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

"Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan