JENAYAH & MAHKAMAH

Polis akan panggil semua pihak terlibat perhimpunan di Dataran Merdeka

31/07/2021 11:29 PM

KUALA LUMPUR,  31 Julai -- Polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan itu.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Katanya tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan.

Beliau berkata peserta berkenaan telah menyasarkan Dataran Merdeka maka polis telah menghalang mereka memasuki kawasan itu.

“Oleh yang demikian, mereka mengadakan perhimpunan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kami telah beri mereka masa untuk bersurai,” katanya.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Mohamad Zainal berkata kesemua peserta perhimpunan itu mematuhi SOP memakai pelitup separuh muka tetapi gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Jarak fizikal agar sukar dikawal kerana adakalanya kita terlupa, rapat antara satu sama lain. Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam perhimpunan itu,” katanya sambil menambah pihaknya menempatkan seramai 300 pegawai dan anggota polis bagi mengawal perhimpunan itu.

Mengulas sama ada penganjur ada memohon permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu, Mohamad Zainal berkata dalam tempoh kawalan pergerakan ketika ini sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kasim berkata beberapa individu terlibat perhimpunan berkenaan telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Jika cukup keterangan, individu-individu berkenaan akan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut menerima satu laporan berhubung perhimpunan berkenaan kira-kira 3 petang tadi.

Dalam perkembangan lain, Azmi menafikan sebuah video tular di media sosial berdurasi 14 saat memaparkan perarakan beramai-ramai di sebatang jalan di Kuala Lumpur.

“Semakan mendapati kejadian itu tidak berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan