JOHOR BAHRU, 1 Ogos -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor telah membantu memindahkan tiga pesakit COVID-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, Mersing, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Zon Maritim Mersing telah menerima panggilan daripada Pejabat Daerah Mersing yang memohon bantuan membawa tiga penduduk pulau berkenaan yang dijangkiti COVID-19 ke Hospital Mersing.
Beliau berkata Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama lima anggota Maritim Malaysia lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE), telah ditugaskan ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat perpindahan perubatan (MEDEVAC) itu.
"Perkasa 31 tiba di lokasi pada pukul 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 77 tahun itu untuk dibawa ke Jeti Syahbandar.
"Perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa dua jam. Sebaik tiba di jeti berkenaan, pesakit terus dipindahkan ke ambulans yang telah bersedia menunggu untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua anggota Maritim Malaysia dan Bot Perkasa 31 yang terlibat kemudiannya telah disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial