PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Penulis dan penerbit buku agama diingatkan supaya memastikan ketepatan, keaslian dan kesahihan kandungan susulan isu kecuaian dalam penerbitan bahan berkaitan agama yang sedang disiasat pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata kerajaan amat menggalakkan penerbitan karya baharu dalam bidang agama, namun aspek keaslian dan kesahihan kandungan perlu diberi perhatian.
Zulkifli berkata perkara ini adalah serius kerana terdapat kecuaian di pihak penulis apabila menerbitkan karya yang mempunyai kesalahan.
"Ini sangat penting, kita akan cuba untuk memantau dengan lebih baik dan insya-Allah kita akan melihat perkara ini dengan lebih mendalam supaya dapat tentukan apa yang boleh kita lakukan lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Zulkifli berkata demikian bagi mengulas dakwaan kesilapan petikan ayat al-Quran dalam buku terbaharu terbitan seorang pempengaruh media sosial yang telah mengundang kritikan dan desakan ramai agar karya itu ditarik balik daripada pasaran.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa penulis berkenaan telah memohon maaf baru-baru ini, namun menegaskan perkara seumpama itu tidak boleh berulang pada masa hadapan.
"Kita akan dapatkan maklumat daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), insya-Allah," katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli berkata kerajaan mengambil pendekatan dengan menubuhkan majlis penerbitan buku agama sebagai usaha bagi mengukuhkan lagi industri penerbitan buku ilmiah Islam di Malaysia.
Pada 3 Jun lepas, Zulkifli berkata majlis itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat dengan menghimpunkan banyak penerbit dan akan berfungsi sebagai platform bagi meneroka peluang kerjasama, berkongsi idea dan mencetuskan gelombang baharu dalam industri penerbitan buku agama berimpak tinggi pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial