EKONOMI

LAM RESEARCH BUKA KILANG PEMBUATAN BAHARU DI PULAU PINANG DENGAN PELABURAN RM1 BILION

03/08/2021 05:52 PM

GEORGE TOWN, 3 Ogos -- Lam Research Corporation, pembekal global bagi peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor, secara rasmi membuka kemudahan baharu dengan pelaburan bernilai RM1 bilion di Batu Kawan, dekat sini, pada Selasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Archer berkata kilang pembuatan di Kawasan Perindustrian Batu Kawan itu mempunyai keluasan lantai 800,000 kaki persegi -- 100,000 kaki persegi lebih luas berbanding rancangan awal.

Beliau berkata kilang itu akan menjadi hab operasi Lam Manufacturing di Asia selain dijangka melonjakkan pengeluaran untuk menjadi kemudahan pembuatan yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan kilang global lain milik pihaknya.

“Dalam melangkah maju, perancangan kami adalah terus mendapatkan dan membina perkongsian kukuh dengan rantaian bekalan tempatan supaya kami boleh meningkatkan keluaran dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, di samping memenuhi permintaan dunia yang amat tinggi terhadap semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian secara maya.

Turut menyaksikan majlis itu secara maya ialah Timbalan CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, semasa menyuarakan galakan kepada pelabur, Chow juga berkata lebih banyak syarikat semikonduktor global sedang mengembangkan operasi mereka ke negeri ini, sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan persekitaran mampan, ekosistem perindustrian yang rancak dan teguh serta daya tarikan infrastruktur yang menyokong pelabur utama.

“Pulau Pinang akan dapat memperkukuh lagi rantaian nilai semikonduktor global dengan memanfaatkan peluang baharu dalam pembuatan semikonduktor bagi wafer siap, yang mewujudkan prospek untuk pekerjaan bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lam Manufacturing Malaysia, Soon K Kuek berkata sejajar dengan perluasan kemudahan baharu itu, pihaknya juga menggaji lebih ramai bakat tempatan.

Beliau berkata, awal tahun ini, Lam Research memberi komitmen untuk menggaji 350 pekerja tempatan bagi pekerjaan bernilai tinggi seperti juruteknik pengeluaran, pemasang dan profesional bertumpuan operasi.

“Jumlahnya kini telah melebihi angka tersebut dan menjelang akhir tahun ini, kami berhasrat untuk mengambil lebih 600 pekerja tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan