KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerja rasmi beliau ke Turkmenistan telah mencapai matlamat yang digariskan, khususnya dalam memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata lawatan itu juga turut membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, terutama sektor tenaga yang mempunyai potensi besar untuk diteroka dan dimanfaatkan demi kemakmuran kedua-dua negara.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov serta semua pihak yang telah memberikan layanan cukup mesra kepada delegasi Malaysia.
“Salut saya kepada pasukan kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat, PETRONAS, petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran setiap urusan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada lawatan itu, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Lawatan rasmi selama dua hari bermula 18 Jun itu merupakan kunjungan pertama Anwar ke Turkmenistan sejak dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, atas jemputan Berdimuhamedov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial