KUALA NERUS, 15 Ogos -- Sepanjang pendemik COVID-19 melanda negara, penduduk Kampung Baru Pulau Redang yang rata-rata bergantung kepada industri pelancongan membuktikan bahawa mereka bukanlah golongan ‘goyang kaki’ mahupun ‘berpeluk tubuh’.
Mereka juga tidak mahu mengharapkan bantuan kerajaan dan orang ramai semata-mata, sebaliknya cekal melakukan pelbagai kerja sebagai ikhtiar demi memastikan dapur di rumah 'sentiasa berasap'.
Ini perkongsian beberapa penduduk kampung di pulau peranginan berkenaan yang kini terpaksa melakukan pekerjaan lain setelah industri pelancongan yang menjadi sumber rezeki selama ini terhenti sementara akibat pandemik tersebut.
Seorang suri rumah, Rosnani Deraman, 46 berkata dia mengambil inisiatif membuat kuih-kuih tradisional Terengganu untuk dihantar ke gerai makan berhampiran bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Selama ini hanya suami, Mad Nawi Muda, 56 yang bekerja di sebuah resort dengan gaji RM2,000 dan jumlah itu cukup untuk keperluan kami. Namun, pengurusan resort terpaksa menggilirkan kedatangan pekerja disebabkan pelancong tidak lagi ramai seperti dahulu.
"Jadi, gaji suami juga terpaksa dipotong sebanyak 50 peratus. Kami faham situasi itu namun tidak berputus asa sebaliknya cuba mencari rezeki lain dengan menjual kuih pula. Secara purata jualan adalah antara RM60 hingga RM80 sehari, cukuplah untuk perbelanjaan sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan bantuan 'Ganu Eco Charity' di sini.
Bagi Noor Laila Ab Kadir, 40, tindakan pengurusan resort tempat suaminya bekerja memberi cuti tujuh bulan tanpa gaji adalah satu tamparan hebat untuk mereka sekeluarga.
"Bayangkan selama ini Pulau Redang sentiasa meriah dengan kedatangan pelancong, memang tidak pernah terlintas di fikiran suami, Suhaili Mohamad, 43 akan jadi penganggur akibat pandemik COVID-19.
"Namun, hidup perlu diteruskan seperti biasa. Makan minum apa-apa sahaja yang ada di depan mata, mujurlah banyak bantuan makanan kering diterima dari pelbagai pihak. Suami pula pergi mengail ikan setiap hari untuk dijadikan lauk. Apa sahaja ikan yang dibawa pulang saya akan masak dan cuba berjimat cermat," katanya yang mempunyai dua anak berusia 11 dan tujuh tahun.
Mohd Nazri Yasin, 53 pula berkata dia terpaksa turun ke laut menangkap ikan walaupun tidak begitu mahir setelah diarahkan pengurusan hotel mengambil cuti tanpa gaji antara 10 hingga 14 hari setiap bulan.
"Dulu gaji RM1,500 sekarang dapatlah RM500 hingga RM750. Saya ada sakit jantung jadi tidak boleh lakukan kerja berat. Jika larat, saya usaha tangkap ikan di kawasan jauh sikit. Ada hari tertentu rasa tidak sihat, saya duduk di rumah sahaja. Mujurlah kita ini dah biasa hidup sederhana, syukuri apa sahaja rezeki yang ada dan berharap industri pelancongan akan pulih dalam masa terdekat," kata bapa kepada enam anak itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Pulau Redang Maarop Ismail berkata pendapatan kebanyakan penduduk terjejas akibat pandemik itu kerana mereka bekerja dalam industri pelancongan seperti kakitangan hotel dan resort serta pemandu bot pelancong.
"Kini mereka terpaksa menjadi nelayan, bercucuk tanam dan menjual kuih-muih untuk menyara keluarga. Mujurlah banyak juga pihak yang prihatin dan menghantar barangan keperluan dapur. Ia sangat melegakan penduduk yang kesempitan.
"Bantuan diberi sangat menceriakan mereka terutama golongan warga emas, pesakit kronik, Orang Kurang Upaya, ibu tunggal dan orang miskin. Kunjungan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan wakil agensi kerajaan yang menyantuni penduduk juga diharap dapat menaikkan motivasi mereka bahawa masih ramai yang prihatin dengan nasib yang menimpa," katanya.
Sebanyak satu tan metrik barangan keperluan 'Ganu Eco Charity' diserahkan oleh Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik melalui kapal penyelidikan RV Discovery ke Pulau Redang.
Presiden MyCAS Dr Noor Zaitun Yahaya berkata suntikan dana sebanyak RM210,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang memberi manfaat kepada 1,500 penduduk memerlukan.
"Agihan 1,500 pek makanan dan kit kebersihan itu telah diserahkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Pulau Redang adalah lokasi terakhir sumbangan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial