Oleh Siti Salwa Shaari
ROMPIN, 22 Ogos -- Kreativiti tanpa batasan, demikian dibuktikan Zabli Ab Hadi apabila cubaan uniknya menggunakan kiub rubik sebagai kelainan dalam menghasilkan potret membuatkan dirinya tular di media sosial baru-baru ini.
Zabli, 35, berkata sebanyak 391 bongkah kiub rubik disusun pada bingkai khas bagi menghasilkan potret pasangan personaliti Shuib Sepahtu dan isterinya Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, yang keseluruhan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan.
Tanpa berselindung, anak jati Pahang itu mengakui niatnya memuat naik video penghasilan potret itu ke akaun Tik Tok @abam.takaful miliknya pada Rabu lepas, dilakukan sebagai sebahagian daripada kerjanya iaitu sebagai pengurus Pusat Internet Kampung Pianggu di sini.
"Ada orang meminta saya mengajar cara-cara memuat naik video ke aplikasi media sosial menyebabkan saya menghasilkan video itu supaya lebih difahami... untuk content pula, saya fikir tidak salah jika berkongsi minat bermain kiub rubik yang menjadi hobi di masa lapang sejak usia 14 tahun.
"Saya hanya tahu video itu tular pada sebelah malam selepas diberitahu rakan, namun tidak mengambil serius. Namun, pada esoknya saya agak terkejut melihat video itu sudah mendapat puluhan ribu tanda suka selain dikongsikan ke banyak akaun media sosial," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Kampung Pianggu, di sini hari ini.
Zabli berkata beliau gembira apabila isteri Nor Aimi Zaini, 35, tidak menghalang hasratnya menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 bagi membeli 400 kiub rubik secara dalam talian, tetapi secara berseloroh menambah awalnya rasa berdebar kerana bungkusan itu tiba agak lewat daripada yang dijanjikan.
Melihat kepantasan jari-jari Zabli 'bermain' bongkah berbentuk empat segi tepat itu bagi mencari susunan warna sesuai sebelum diletakkan pada bingkai khas menerbitkan rasa kagum, namun beliau berkali-kali memberitahu dirinya bukanlah pemain kiub rubik yang pantas.
"Untuk menghasilkan potret ini memerlukan banyak kerja dan memakan masa. Potret asal perlu dibesarkan menggunakan aplikasi Adobe Photoshop bagi melihat susunan pixel sebelum ditukar kepada empat tona warna kerana warna di kiub rubik terhad.
"Melalui pixel, baharulah kita boleh mengira jumlah kiub rubik diperlukan dan susunan warna kerana gambarnya kurang jelas pada peringkat awal susunan. Memandangkan ia berdasarkan susunan pixel, potret yang dihasilkan lebih jelas dilihat dari jauh atau menerusi gambar di kamera atau telefon pintar," katanya.
Zabli juga memaklumkan potret tersebut tidak bertahan lama, kerana kiub rubik akan disimpan semula dalam kotak selepas 'lukisan’ itu diabadikan dalam bentuk gambar memandangkan beliau masih mencari cara terbaik untuk mengekalkan susunan bongkah plastik itu dibingkai.
Selain itu, kos menjadi kekangan kerana cara terbaik pada hematnya ialah dengan memasang cermin kaca pada bingkai yang juga perlu ditempah khas, bagi mengekalkan kedudukan susunan ratusan bongkah kiub rubik tersebut.
"Disebabkan itu juga saya masih berkira-kira terhadap permintaan menghasilkan potret beberapa individu terutamanya selepas video itu tular... paling bimbang jika kiub rubik yang disusun runtuh semasa proses penghantaran yang sudah pasti akan mengecewakan saya dan pembeli," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial