BERITA COVID–19   Varian Omicron: Thailand pertimbang batal rancangan guna kit ujian pengesanan pantas | COVID: Kes baharu di Sarawak kembali dua digit | Varian Omicron: Jepun sekat ketibaan pelancong asing | Belum jelas varian Omicron mudah berjangkiti, sebabkan gejala lebih teruk - WHO | Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - Khairy | 
AM

Fasa pertama kilang sarung tangan getah di Bidor dijangka siap 2023

26/08/2021 01:40 PM

IPOH, 26 Ogos -- Fasa pertama kilang sarung tangan getah dalam Projek Pembangunan Bandar Sarung Tangan Integrasi di Bidor, daerah Batang Padang, dijangka akan siap dan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, syarikat Kossan Rubber Industries Bhd telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM), kelulusan pelan kejuruteraan serta Pelan Bangunan daripada Majlis Daerah Tapah, dan kerja tanah telah berjalan di tapak projek yang akan diikuti dengan pembinaan bangunan kilang, serta infrastruktur sokongan.

“Bagi memastikan perjalanan projek ini berjalan lancar, sebuah jawatankuasa kerja ‘Center of Investment’ (COI), (COI@Glove City) telah ditubuhkan, di mana jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri, manakala InvestPerak bertindak selaku urusetia.

“Jabatan-jabatan serta agensi-agensi teknikal berkaitan turut menganggotai jawatankuasa kerja COI@Glove City, bagi bersama-sama memantau kemajuan projek secara berkala, serta bermesyuarat bagi mendapatkan penyelesaian segera berhubung sebarang masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan projek ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang), yang ingin tahu status pembangunan projek di atas tanah seluas 333 hektar, yang mula dirancang pada 2018 dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

Shahrul Zaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup itu berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak syarikat, dianggarkan sejumlah 5,000 hingga ke 6,000 peluang pekerjaan bakal terwujud, apabila kilang ini beroperasi kelak.

Beliau berkata pihak syarikat akan mengutamakan pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk tempatan, dalam memastikan sumber tenaga kerja yang lebih mudah dicapai untuk memenuhi keperluan operasi kilang, berbanding pengambilan pekerja dari luar.

“Malah, pihak syarikat bakal menggunapakai kelengkapan teknologi moden dalam operasi kilang, yang membuatkan kebergantungan kepada buruh am terutama daripada kalangan warga asing, dapat dikurangkan.

“Kita juga menjangkakan dengan pembangunan sesebuah kawasan industri yang besar seperti ini, akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat termasuklah peningkatan kepada aktiviti perniagaan, seperti kedai makan, kedai runcit serta perniagaan khidmat keperluan lain, yang mana secara tidak langsung turut akan membuka peluang pekerjaan baharu, kepada penduduk setempat,” katanya.

Mengenai projek-projek pelaburan berimpak tinggi yang telah diluluskan dan di dalam perancangan untuk dilaksanakan di Batang Padang, Shahrul Zaman berkata berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terdapat lima projek pelaburan dalam sektor pembuatan telah diluluskan bagi daerah itu, dengan nilai pelaburan kira-kira RM87.8 juta dari 2017 sehingga tahun lepas.

Menurutnya bagi sektor perkhidmatan pula, terdapat empat projek yang telah diluluskan MIDA bagi tempoh sama, dengan nilai pelaburan kira-kira RM229 juta.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman turut memaklumkan Gas Malaysia Berhad kini dalam proses membangunkan jajaran paip gas asli, yang akan disambungkan dari Changkat Jong ke Bidor bagi memenuhi keperluan gas asli oleh kilang Kossan, dan kerajaan negeri sedang dalam perancangan bersama Gas Malaysia Berhad, bagi menyambung jajaran paip gas asli itu terus hingga ke Proton City, Tanjung Malim.

Jajaran paip gas asli itu katanya, bakal merentasi kawasan-kawasan berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian di Batang Padang, yang mana dengan adanya kemudahan infrastruktur gas asli itu kelak dapat meningkatkan peluang bagi menarik pemain-pemain industri, untuk membuka operasi perindustrian mereka di daerah berkenaan.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan