JENAYAH & MAHKAMAH

15 lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan

29/08/2021 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Seramai 15 lelaki tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata kesemua lelaki berusia 17 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berbeza di antara pukul 11 malam dan jam 3 pagi tadi.

“Suspek pertama ditahan di Jalan Bangsar dan polis merampas sebotol air dipercayai ketum. Lima suspek lain pula ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya serta melakukan aksi berbahaya di jalan raya di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“(Seterusnya) tujuh lelaki lagi ditahan kerana sedang melakukan aksi ‘Superman’, ‘roket’ dan bersaing antara satu sama lain di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). Mereka dibawa ke JSPT Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata dua lelaki ditangkap kerana disyaki menukar nombor pendaftaran asal kepada nombor pendaftaran palsu di kawasan Sentul selain mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut kesalahan antaranya di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Sekyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan menurutnya operasi itu juga menyaksikan 978 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Sarifudin berkata pihaknya memandang serius dan akan mempertingkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung perlakuan samseng jalanan, selain menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan