Penggunaan Kamera Badan Penguat Kuasa JPJ Diperlukan, Tingkat Integriti

23/11/2024 09:38 AM

SEREMBAN, 23 Nov (Bernama) -- Penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sangat diperlukan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.

Bagaimanapun katanya kajian menyeluruh mengenai perkara itu masih dilakukan sebelum dapat dilaksanakan.

"Sememangnya di peringkat JPJ dan kementerian melihat memang ada keperluan anggota penguat kuasa kita menggunakan kamera badan ini tetapi cuma sekarang ini ia masih lagi di peringkat kajian awal.

"Kita juga telah menjalankan satu siri ujian bukti konsep (POC) mengenai perkara ini sebelum ia betul-betul dapat dilaksanakan," katanya ditemui pemberita selepas Ops Bersepadu JPJ Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf di Plaza Tol Senawang, di sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju kamera badan digunakan oleh agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk JPJ bagi meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan di mata rakyat selain melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Jazmanie berkata sebanyak 51,421 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ kepada pengguna motosikal dalam tempoh 22 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula awal bulan ini.

Beliau berkata sejumlah 243,240 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 36,673 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan manakala 1,812 disita di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh operasi itu, lima kesalahan paling tinggi telah dikesan iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak 19,080 (kes) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14,163) dan tiada insurans (12,794). Selain itu nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 4,040 kes dan CDL tamat tempoh (1,344)," katanya.

Jazmanie berkata tindakan kompaun turut dikenakan kepada 1,299 penunggang motosikal warga asing dan 146 individu bawah umur manakala 10 daripada 239 penunggang yang membuat ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan