AM

'Bantu App' platform galak, mudahkan rakyat hulur bantuan akibat COVID-19

24/09/2021 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Prihatin dengan nasib golongan yang terkesan dan terjejas pendapatan akibat penularan COVID-19, sekumpulan anak muda membangunkan aplikasi bagi memudahkan permohonan dan penyaluran bantuan seperti barangan keperluan asas.

Pengasas bersamanya, Mohammad Hasif Afiq Jaafar berkata aplikasi dinamakan ‘Bantu App’ yang dibangunkan hujung bulan lepas oleh beliau dan sembilan rakan lain diharap dapat menjadi platform bagi menggalakkan budaya saling bantu-membantu dalam situasi sukar selain memudahkan dan meluaskan capaian pertolongan.

“Idea membangunkan Bantu App tercetus ketika kempen Bendera Putih sebagai tanda solidariti membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19  tular pada hujung Jun lepas. 

"Seperti yang semua tahu, menjalani kehidupan semasa pandemik sangat mencabar, ramai yang kehilangan kerja dan pendapatan, lagi menyedihkan apabila ada yang mengambil jalan untuk membunuh diri akibat tekanan mental bagi meneruskan hidup pada masa kini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Beliau berkata pihaknya menyasarkan dua golongan pengguna iaitu kumpulan yang memerlukan dan juga yang mahu menyalurkan bantuan termasuklah individu dan kumpulan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohammad Hasif Afiq berkata jenis bantuan juga tidak terhad kepada makanan dan barangan dapur sebaliknya turut meliputi bantuan kemudahan penginapan, kewangan, perubatan serta sokongan kaunseling. 

 Jurutera perisian itu berkata aplikasi tersebut direka dengan ciri mesra pengguna termasuk pengesanan dan penetapan lokasi menggunakan sistem koordinat serta pilihan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. 

Beliau berkata aplikasi tersebut setakat ini telah menarik lebih 100 pengguna aktif sejak dilancarkan pada 27 Ogos lepas.

“Kami menyasarkan lebih ramai memuat turun aplikasi ini menerusi Google Play Store dan Apple App Store secara percuma dalam tempoh tiga bulan pertama dan diharap sekurang-kurangnya dapat mencapai 10,000 muat turun,” katanya yang mengambil tempoh dua bulan untuk membangunkan aplikasi itu. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan