AM

Bekas pereka grafik tanam anggur, hasil hampir 100 kg sebulan

11/09/2021 12:26 PM

TUMPAT, 11 Sept  -- Persepsi bahawa tanaman anggur hanya sesuai ditanam di kawasan atau negara beriklim sejuk ternyata tidak benar apabila buah itu dilihat mampu hidup subur di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia.

Ini terbukti melalui usaha bekas pereka grafik, Wan Yusoff Abdul Rahman, 37, yang berjaya ‘menghidupkan’ tanaman anggur di Kampung Belukar dekat Wakaf Bharu di sini, dengan menggunakan teknik dan pembajaan bersesuaian. 

Berpeluang untuk menjengah ke kebun anggur itu, penulis terpukau melihat puluhan tangkai anggur pelbagai warna yang hampir mekar menghiasi halaman rumahnya.

Wan Yusoff berkata di sekeliling rumahnya sahaja terdapat 60 pokok anggur pelbagai jenis termasuk Ninel, Trans, Jupiter, dan Dixon, malah beliau mampu mengutip hasil tanaman itu hampir 100 kg sebulan.

"Kebanyakan spesis anggur ini berasal dari Ukraine, Uzbekistan dan Korea Selatan. Apa yang mengejutkan kesemuanya dapat hidup subur di sini malah rasa manisnya hampir menyamai rasa buah anggur di negara asal," katanya kepada Bernama.

Wan Yusof berkata tanaman anggur yang diusahakan di halaman rumah sejak dua tahun lepas itu pada mulanya hanya sebagai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkaji 'perangai' tanaman berkenaan.

"Saya tidak nafikan tanaman anggur saya mampu mengeluarkan hasil hingga menjadi tumpuan orang ramai berkunjung ke rumah bagi melihat dan merasai sendiri anggur yang ditanam.

"Walaupun sukar dipercayai tetapi setiap pokok boleh mengeluarkan sebanyak 500 tangkai dengan berat yang mampu mencapai 500 hingga 700 gram setiap tangkai dan itulah hasil dikeluarkan pokok anggur tanaman saya," katanya yang mempelajari teknik tanaman dan pembajaan melalui Internet.

Menurut bapa kepada lima anak itu, pokok anggur sebenarnya satu tanaman yang lasak dan mampu hidup lama serta perlukan cuaca panas.

"Berdasarkan R&D yang saya lakukan, hujan adalah musuh utama tanaman anggur ini dan memerlukan struktur perlindungan hujan bagi memastikan pokok anggur dalam keadaan baik.

“Selepas mengeluarkan putik, baki bunga kering dan masih melekat serta daun perlu dibuang bagi menghasilkan buah yang cantik. Kebiasaannya, selepas buah habis dipetik, saya pangkas daunnya kemudian ia akan berbuah lagi dalam masa 90 hari,” katanya.

Menurut Wan Yusoff, tanaman anggur di negara ini mampu mengeluarkan hasil lebih banyak kerana boleh berbuah tiga hingga empat kali setahun.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk membuka ladang anggur berkonsepkan agro pelancongan di kawasan seluas 0.4 hektar di Tumpat dengan tanaman sebanyak 500 pokok.

"Projek ini telah dimulakan yang mana saya sedang menyiapkan benih dan tapak dengan kerjasama beberapa agensi. Insya-Allah, mungkin dalam tempoh sembilan bulan lagi ia akan mengeluarkan hasil," katanya.

Beliau juga sedang 'mengintai' dan berhasrat menanam spesis anggur dinamakan shine musket dari Jepun yang bersaiz lebih besar dan manis hingga boleh dijual dengan harga hingga RM500 sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan