LANGKAWI, 15 Sept -- Keputusan untuk mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula esok menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan merupakan satu langkah positif walaupun diumumkan agak lewat dan menimbulkan kekeliruan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata keputusan itu dibuat kerana kebimbangan kerajaan terhadap risiko peningkatan kes COVID-19 di pulau peranginan itu berikutan projek rintis gelembung pelancongan yang akan bermula esok.
"Sebelum ini saya menyatakan tidak ada swab test (ujian saringan), tiba-tiba hari ini Kementerian Kesihatan mengumumkan ada swab test...tetapi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bimbang apabila berlaku sesuatu seperti banyak kes nanti.
"Ini adalah satu kerisauan yang positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik di sini malam ini.
Pelancaran itu dilakukan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Nancy berkata walaupun pengumuman itu dilihat agak lambat dan mengelirukan rakyat namun langkah itu demi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan kejayaan gelembung pelancongan Langkawi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula esok diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.
Khairy berkata ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Sementara itu, Nancy berkata projek rintis gelembung pelancongan Langkawi akan menjadi kayu ukur bagi menentukan pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan lain selepas ini.
"Kalau ini berjaya, maka insya-Allah projek gelembung pelancongan lain akan jadi mudah untuk kita. Semua sedang menunggu keputusan kita dari Langkawi ini. Destinasi lain sedang menunggu untuk dibuka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial