FOKUS BERNAMA

Usahawan Mahu Bantu Kanak-Kanak B40 Sekolah Atasi Kekurangan Zat Makanan

23/09/2021 08:27 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

Rencana dua bahagian ini mengisahkan pengembaraan seorang remaja yang membesar di estet di Perak ke England, setahun sebelum negara mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957.

Perjalanan yang penuh getir untuk memberi sinar kehidupan baru untuk keluarga yang dihimpit kemiskinan. Dari England ke Australia dan kemudiannya ke Kampuchea, hasil usaha gigih meletakkan beliau yang kini berusia 82 tahun sebagai usahawan berjaya.

Ikuti kisah Robert K Chelliah seterusnya dalam bahagian akhir daripada dua bahagian ini.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Robert K. Chelliah, anak pekerja estet yang begitu nekad mengembara ke England pada sekitar tahun 1956 untuk mencari kehidupan baharu untuk keluarganya, kini adalah seorang usahawan berjaya.

Pada masa ini beliau mengusahakan ladang tanaman moringa di Kampuchea, tempat pilihannya untuk menghabiskan sisa usia selepas kematian isterinya pada tahun 2011.

Menurut Robert, 82, apabila beliau berpindah ke Phnom Penh pada tahun 2018, beliau dapati di belakang rumahnya ada pokok Moringa. Beliau sememangnya tahu khasiat pokok ini daripada pengalamannya membesar di estet di Perak, Malaysia.

Pokok Moringa banyak ditanam di Estet Kamunting, Perak, tempat di mana beliau tinggal bersama ibu dan dua beradiknya selepas ayahnya meninggal dunia.

Pada permulaannya, Robert bercadang untuk menambah pokok Moringa yang ada di rumah sebagai hobi dan untuk kegunaan sendiri tetapi memandangkan tumbuhan ini didakwa mempunyai banyak khasiat, daripada daunnya hingga ke bahagian kulit pokok, bunga, buah dan akar, beliau membuat keputusan untuk menanamnya untuk tujuan komersial.

Beliau kemudiannya menubuhkan Lexmin Pty Ltd, syarikat yang didaftarkan di Australia, untuk membuka ladang menanam pokok Moringa dan tumbuhan lain yang mempunyai manfaat pemakanan seperti halia hitam, kunyit hitam dan neem.

 

MEMBALAS BUDI MASYARAKAT

pic-6

Lexmin Pty Ltd yang diterajui oleh Robert sebagai ketua pegawai eksekutif, kini mengeksport makanan tambahan daripada tumbuhan yang ditanam di ladangnya di Kampuchea ke negara Eropah dan ASEAN.

Syarikat ini bernilai kira-kira AS$3.6 juta selepas memperolehi lima tahun kontrak untuk membekalkan minimum 50 tan tumbuhan makanan organik ke Eropah, selaras dengan piawaian keselamatan makanan organik Eropah.

“Apabila saya menubuhkan Lexmin, tujuan saya bukanlah untuk membuat keuntungan. Ianya lebih untuk memenuhi impian saya dan untuk menjaga kesihatan saya. Tak saya sangka ianya kini menjadi jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual telefon dari Phnom Penh baru-baru ini.

Membesar dalam keluarga yang dihimpit kemiskinan, isu kurang makanan berkhasiat bukan perkara asing bagi Robert, justeru, beliau ingin membantu kanak-kanak sekolah di Malaysia daripada kumpulan B40 juga kanak-kanak miskin di Kampuchea supaya tidak mengalami masalah yang sama.

“Saya percaya semua yang saya nikmati sekarang adalah untuk saya kongsikan dengan orang lain, terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya, sambil menambah, pemakanan adalah amat penting untuk pelajar dari usia muda lagi kerana mereka memerlukannya untuk meningkatkan kemampuan pembelajaran di samping menguatkan sistem ketahanan badan.

Robert sendiri pernah melalui pengalaman sukar, menderita penyakit yang dipanggil sebagai neuropsychiatry depression ketika belajar di England kerana kekurangan zat makanan semasa kecil.

Beliau terpaksa pulang ke tanah air pada tahun 1963 untuk menerima rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah.

“Saya tak mahu kanak-kanak lain melalui apa yang saya lalui. Itulah sebabnya mengapa saya tubuhkan Lexmin untuk menolong golongan miskin di Malaysia dan Kampuchea bagi menangani isu kekurangan zat makanan pada usia muda,” katanya.

Menurut Robert, beliau masih menunggu untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan makanan tambahan moringa yang dihasilkan oleh syarikatnya.

Sebaik sahaja menerima kelulusan itu, pihaknya akan menemui pihak Kementerian Pendidikan untuk membincangkan pengagihan makanan tambahan berkenaan kepada kanak sekolah dari kumpulan B40.

 

HASIL TUAIAN TINGGI MORINGA

pic-2

Berkongsi penanaman komersial moringanya, Robert berkata pada permulaannya beliau membelanjakan sebanyak AS$3,000 dolar tetapi kemudiannya berjaya mendapatkan tambahan AS$80,000 daripada dua orang anak perempuannya serta pembiayaan orang ramai.

Syarikat beliau mula membuat ujian untuk mencari kaedah tanaman moringa paling terbaik serta menguji beberapa kaedah tanaman organik. Semuanya dilakukan di sebuah kawasan kecil, menggunakan teknik pertanian Australia, Jepun, Israel dan India.

“Kami akhirnya memilih kaedah penanaman Vedic India. Untuk merangsang percambahan benih, kami menggunakan persediaan kami sendiri iaitu campuran baja-bio semula jadi untuk menghasilkan tanah yang bagus untuk memulakan tanaman,” katanya.

Usaha mereka akhirnya menghasilkan tumbuhan moringa yang memberi tuaian tinggi.

"Nilai protin tepung moringa organik kami yang melalui ujian makmal adalah di atas 32 peratus setiap 100gm, salah satu yang tertinggi di peringkat global,” tambahnya.

Hasil yang menggalakkan itu membawa kepada penubuhan Lexmin Organic Moringa Farm, meliputi seluas lebih 22 hektar di lokasi tanah Indeks Geografi (GI), wilayah Kampot Chuck, Kampuchea dan tanaman yang dihasilkan daripada ladang ini lebih tinggi mutunya.

 

LADANG ORGANIK TERBAIK KAMPUCHEA

pic-4

Menurut Robert, Jabatan Pertanian Kampuchea menamakan Ladang Lexmin Organic Moringa sebagai ladang organik terbaik di negara itu.

Pengiktirafan ini menjurus kepada pemeterian memorandum persefahaman (MoU) antara Lexmin dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kampuchea bulan lalu.

Matlamat MoU ini adalah untuk mempromosi tanaman organik serta meningkatkan amalan perladangan petani Kampuchea kepada piawaian antarabangsa bagi membolehkan hasil tanaman Kampuchea bersaing di peringkat antarabangsa.

pic-5

Menurut Robert, dengan menandatangani MoU itu, nilai syarikat Lexmin meningkat kepada AS$9 juta. Beliau juga kini ditugaskan untuk menambah peluang pekerja dalam sektor perladangan.

“Saya yakin dapat menunaikan tugas besar ini kerana pengalaman saya sebagai pekerja pembangunan sosial masyarakat," katanya.

Beliau juga menyatakan pengiktirafan oleh kerajaan Kampuchea yang diberikan untuk syarikat sebagai satu penghormatan besar dan berasa besar hati kerana diberi kepercayaan untuk meningkat mutu sektor hortikultur negara itu.

 

KUNYIT HITAM

pic-3

Robert juga menyentuh tentang penanaman kunyit hitam (Curcuma caesia) yang secara tidak sengaja ditemui oleh salah seorang pengurus ladangnya, tumbuh meliar di kawasan pedalaman Ladang Organic Moringa, di kaki bukit Banjaran Cardamom.

“Kunyit hitam ini herba perubatan yang jarang ditemui dan didakwa mengandungi curcumin tertinggi berbanding mana-mana spesies tumbuhan. Ia mengandungi sifat antioksidan dan antikeradangan,” katanya.

Menurut beliau, beberapa puak di India menggunakan kunyit hitam ini untuk tujuan kerohanian dan sejak berabad lamanya, ia digunakan untuk merawat antaranya arthritis, asma dan migrain.

“Melihatkan tumbuhan ini meliar di ladang kami, Lexmin kemudiannya memutuskan untuk menanam kunyit hitam bagi melindungi spesies tumbuhan yang terancam ini dan agar tumbuhan ini mudah diperolehi untuk menghasilkan bahan yang berguna.

“Produk kunyit hitam kami disenaraikan sebagai salah satu daripada lima produk superfood terbaik oleh Clean + Conscious Awards 2021. Saya yakin boleh menang tempat pertama dalam pertandingan global,” katanya.

Sementara itu, Dr P Vythilingam, seorang doktor tempatan yang mengamalkan perubatan alopatik berasaskan bukti dan turut mengesyorkan pengambilan produk pemakanan berasaskan tumbuhan, mendakwa kunyit hitam dan halia hitam menawarkan beberapa manfaat perubatan.

“Dalam praktis saya, saya menggunakan tepung daun moringa sebagai makanan semula jadi untuk meningkatkan paras hemoglobin dan memberikan galian, vitamin serta protin yang berguna kepada badan,” katanya.

Beliau turut mendakwa kunyit hitam juga mempunyai sifat antioksidan dan antikeradangan yang tinggi serta meningkatkan sistem ketahanan badan, juga artritis dan reumatoid arthritis.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan