BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Kejayaan penganjuran Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini membuktikan keupayaan warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam melaksanakan acara berskala besar menggunakan sepenuhnya kepakaran dalaman agensi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata beliau berbangga dengan dedikasi petugas Bernama yang terlibat dalam pelbagai jawatankuasa kecil bagi menjayakan majlis kemuncak sambutan itu.
Beliau berkata antara pencapaian membanggakan pada penganjuran tahun ini ialah kejayaan melaksanakan siaran langsung pertama Bernama yang dihasilkan sepenuhnya menerusi usaha dalaman.
“Kami mengaturkan segala perancangan dengan hasil kerja dalaman, penghasilan video kecerdasan buatan (AI) secara dalaman, poster-poster dan susun atur semuanya menggunakan sepenuhnya petugas kami.
“Sebagai agensi pelaksana, insya-Allah kami akan merancang penganjurannya di sebuah negeri lain bagi membawa rakan-rakan media berhimpun, dan pada masa sama mengenali negeri-negeri yang akan menjadi tuan rumah pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan itu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Nur-ul Afida berkata sambutan positif yang diterima daripada pengamal media turut mencerminkan kepentingan HAWANA sebagai platform tahunan yang menghimpunkan warga media negara.
Beliau berkata terdapat dalam kalangan pengamal media yang telah bertanyakan mengenai lokasi penganjuran HAWANA tahun hadapan, sekali gus menunjukkan minat berterusan terhadap acara berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata Bernama berharap agar terus diberi kepercayaan oleh Kementerian Komunikasi untuk memikul tanggungjawab sebagai agensi pelaksana HAWANA.
“Ini adalah tahun keenam Bernama diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana. Saya berharap kementerian berpuas hati dengan perancangan dan penganjuran yang telah kami laksanakan serta tugasan ini dapat diteruskan kepada Bernama pada masa akan datang,” katanya.
Kira-kira 1,000 pengamal media, khususnya wartawan termasuk dari beberapa negara ASEAN berkumpul di Pulau Pinang sejak semalam bagi menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial