KUALA LUMPUR, 13 Okt -- Bermula Jumaat ini, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan kembali ke kampus untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka selepas berbulan berhadapan kelas secara maya akibat penularan pandemik COVID-19.
Semua garis panduan kemasukan dan keberadaan di dalam kampus dan prosedur operasi standard (SOP) sudah disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mengikut rekod KPT, seramai 1,162,590 pelajar telah mendaftar di 595 IPT di bawah kementerian itu setakat 30 Jun lepas, dengan 83 peratus daripadanya divaksinasi sepenuhnya.
Jumlah itu merangkumi 555,340 pelajar universiti awam, 507,932 pelajar di universiti swasta, 84,578 pelajar di politeknik dan14,740 pelajar di kolej komuniti.
Sehingga 30 Sept lepas, kadar vaksinasi lengkap bagi 131,151 kakitangan IPT pula telah mencapai 90 peratus.
Bagi pensyarah kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Bity Salwana Alias, pembukaan semula IPT Jumaat ini merupakan waktu yang sesuai sekali gus langkah itu memperlihatkan kelangsungan proses pendidikan di kampus di kala negara dalam proses beralih ke fasa endemik.
“Kita tidak ada pilihan melainkan perlu hidup bersama COVID-19 ini… tiada siapa yang tahu bila pandemik ini akan berakhir walaupun trend menunjukkan kes semakin menurun, jadi kita tidak boleh terus menunggu (pandemik berakhir) dan pada saya, kita perlu berani mengambil risiko yang munasabah untuk beri peluang kepada pelajar untuk terus belajar di kampus,’’ katanya kepada Bernama.
Beliau berkata komitmen pelajar IPT dalam mendapatkan dos lengkap vaksin COVID-19 turut membuktikan bahawa mereka telah bersedia dan teruja untuk kembali ke kampus.
‘’Saya yakin mereka lebih bersedia dengan SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Pihak IPT sendiri sudah tentu telah membuat persediaan yang rapi bagi menyambut pelajar kembali ke kampus,’’ katanya.
Mengikut Pelan Pembukaan dan Pengoperasian IPT Sesi Akademik 2021/22, pengoperasian IPT harus melalui konsep fasa pembukaan kampus (FPK) yang menggambarkan situasi komuniti IPT yang terdiri daripada warga IPT yang telah lengkap divaksin dan perlu mengikut SOP manakala mereka yang tinggal di luar kampus dan lengkap vaksin dibenarkan memasuki kampus dengan SOP yang ketat.
Pelajar yang tidak boleh divaksinasi perlu menunjukkan surat pengesahan doktor perubatan sebelum kembali ke kampus dan menghubungi institusi pengajian masing-masing bagi tujuan penyelarasan serta menjalani ujian PCR COVID-19 tiga hari sebelum kemasukan dan ujian air liur setiap minggu.
Bagaimanapun, pelajar dari lokaliti yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan negeri yang menguatkuasakan larangan pergerakan, dikecualikan kembali ke kampus.
Bagi pengukuhan SOP, setiap IPT diminta menyediakan pusat pengasingan dan kuarantin serta perlu mematuhi SOP mengikut pengoperasian IPT termasuk diwajibkan melalui saringan suhu, penggunaan aplikasi MySejahtera dan pemakaian pelitup muka.
Institusi pengajian turut disaran memperkasakan Jawatankuasa Tindakan Kecemasan dan bilik gerakan serta memantapkan pengurusan kesihatan mental seperti perkhidmatan kaunseling dan psikososial serta penganjuran kesedaran pengawalan tekanan dan emosi.
IPT juga dikehendaki memastikan sistem pengudaraan di semua bilik pensyarah dan bilik kuliah dalam keadaan baik dan yang tiada pendingin hawa dikehendaki membuka tingkap tanpa berlangsir semasa bilik digunakan.
Pematuhan amalan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup separuh muka di tempat awam serta mengelakkan kawasan sesak, sempit serta bersembang dengan jarak dekat, antara penekanan kepada pihak IPT bagi membendung penularan wabak COVID-19 di kampus.
Pihak IPT turut dikehendaki mengamalkan pengurusan SOP umum termasuk memastikan proses pembersihan dan nyah kuman dilaksanakan sebelum dan selepas aktiviti kerja seharian selain memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik dipremis terutamanya ruang yang bertutup.
Kakitangan dan pelajar perlu melakukan ujian saringan kendiri menggunakan Kit Ujian Kendiri yang bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar di kampus.
Bagi kaedah pergerakan pula, pelajar diberi kelonggaran untuk memandu kenderaan sendiri selain dihantar oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksinasi sementara pelajar yang berkongsi kenderaan perlu memastikan pemandu dan penumpang lengkap divaksinasi.
Pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang memilih pengangkutan udara, mereka harus melakukan ujian RT-PCR dalam tempoh tiga hari sebelum penerbangan dan jika keputusan ujian dilaporkan positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan.
Pelaksanaan aktiviti pelajar termasuk sukan dan rekreasi dibenarkan tetapi tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sementara aktiviti sosial, keagamaan, ekonomi, sukan dan rekreasi secara berkumpulan pula tertakluk kepada arahan berkuat kuasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial