KOTA KINABALU, 20 Okt -- Petronas menyumbang sebanyak RM708,460 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk Sabah bagi melaksanakan tiga program kesejahteraan masyarakat baharu dan alam sekitar.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan itu daripada Ketua Kerajaan Petronas dan Penasihat Pengawal Selia Anuar Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dalam satu upacara ringkas di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab.
Menurut kenyataan daripada Jabatan Ketua Menteri, program-program itu dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kerja antara Petronas-Sabah, sebuah platform kerjasama antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk pelaksanaan segera hingga Disember 2021.
Program pertama ialah pembinaan menara peninjau dan jeti di Kampung Pantai Emas, Kota Belud, sebuah inisiatif oleh Pejabat Daerah Kota Belud yang bertujuan meningkatkan aktiviti pelancongan dan perikanan di kawasan itu dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Program kedua pula ialah Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT), satu inisiatif CSR oleh Petronas dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memperkasakan masyarakat supaya lebih bersedia menghadapi kecemasan selain turut menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti.
Kira-kira 200 pemimpin akar umbi dan masyarakat dari Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang akan terlibat dalam program CERT bermula hujung bulan ini dengan peruntukan sebanyak RM108,460.
Baki sebanyak RM100,000 pula adalah untuk Persidangan Perubahan Iklim Antarabangsa Sabah 2021 yang akan diadakan bulan depan, anjuran Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial