DUNIA

New South Wales Tingkat Pemantauan Jerung Selepas Serangan Di Pantai Sydney

28/06/2026 05:25 PM

SYDNEY, 28 Jun (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan negeri New South Wales (NSW), Australia akan memperuntukkan tambahan A$34 juta (US$23.44 juta) bagi memperluas penggunaan dron untuk memantau kehadiran jerung susulan satu serangan di pantai Sydney awal bulan ini, termasuk lapor Xinhua.

Peruntukan baharu itu menjadikan jumlah pembiayaan program mitigasi jerung negeri berkenaan meningkat kepada A$120 juta bagi tempoh dua tahun, menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Ahad.

Kira-kira 70 pantai di NSW akan dipantau menggunakan dron sepanjang tahun, dengan semua pantai di Sydney mula menerima liputan pemantauan bermula 1 Julai. 

Pantai di kawasan luar bandar pula akan dipantau pada setiap hujung minggu sepanjang tahun serta setiap hari pada musim panas.

Menurut Surf Life Saving NSW yang mengendalikan operasi pemantauan itu, program berkenaan berpotensi melibatkan sehingga 500,000 penerbangan dron setiap tahun, di samping pelaksanaan percubaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kehadiran jerung.

Premier NSW Chris Minns berkata program itu akan menjadi antara yang terbaik di dunia, sambil menjelaskan bahawa peningkatan rondaan berkemungkinan menyebabkan lebih banyak penampakan jerung direkodkan, namun keadaan itu mencerminkan keupayaan pengesanan yang lebih baik, bukannya pertambahan jumlah jerung.

Langkah memperluas program itu diambil susulan insiden dua minggu lalu yang menyaksikan seorang wanita berusia 34 tahun cedera parah akibat diserang seekor jerung putih besar ketika berenang di kawasan pantai di Pantai Coogee, antara pantai popular di Sydney.

ABC melaporkan tiada dron beroperasi ketika kejadian kerana pantai berkenaan terletak berhampiran laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Sydney.

Jerung putih besar merupakan spesies yang dilindungi dan tidak boleh diburu, namun Minns berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan mengambil langkah mengawal populasi "bull shark", yang tidak termasuk dalam spesies dilindungi.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan