KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam tidak meminggirkan golongan belia dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Bajet 2022 adalah inklusif dan mencakupi kesemua lapisan masyarakat melibatkan semua golongan seperti masyarakat yang menetap di bandar atau luar bandar, di samping membabitkan semua kaum serta agama.
Katanya kerajaan tidak pernah meminggirkan belia meskipun mengakui terdapat beberapa komen yang agak negatif menerusi laman sosial daripada golongan itu kerana kononnya kerajaan meminggirkan kumpulan itu dalam Bajet 2022.
"Kerajaan tidak pernah dan tidak akan mengenepikan golongan belia dalam apa sahaja yang diumumkan untuk Malaysia, negara kita. Pastinya golongan belia diberikan keutamaan, sebab itu saya katakan tadi bahawa masa depan negara ini bergantung kepada golongan belia hari ini.
"Tak mungkin kita akan pinggirkan dan mengenepikan golongan belia, dalam bajet yang diumumkan semalam terdapat 25 insentif kepada anak muda melalui bajet ini sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan bajet untuk belia tidak diletakkan di bawah satu topik khusus untuk golongan itu tetapi boleh dijumpai dalam topik antaranya melibatkan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita.
Ismail Sabri berkata antara inisiatif berkenaan adalah PerantiSiswa iaitu tablet untuk siswa B40 dengan kerajaan menanggung kira-kira RM800 setiap unit selain jaminan kerajaan untuk menyediakan 600,000 peluang kerja bagi membantu golongan belia memperoleh pekerjaan melalui inisiatif JaminKerja.
Antara insentif lain kata perdana menteri ialah pelepasan cukai kemahiran, Baucar Perlindungan Tenang, MySalam, Kasih Suri, Yuran Taska, Kerusi Keselamatan, Kredit Mikro, e-Sukan dan Perumahan untuk informal (bantuan pinjaman bagi pekerja tanpa gaji tetap).
Contoh bagi insentif Perumahan untuk informal kata Ismail Sabri ialah menerusi langkah kerajaan memperkenalkan jaminan sebanyak RM2 bilion bagi golongan belia yang tidak mempunyai slip gaji untuk membeli rumah.
"Majlis Belia Felda (sebagai contoh), Felda mempunyai program Perumahan Generasi Kedua Felda, tetapi kumpulan belia di Felda, tak boleh nak beli rumah kerana tiada slip gaji, kerana mereka bekerja sendiri, begitu juga dengan (untuk membeli) rumah lain.
"Ini adalah masalah kepada golongan belia untuk memiliki rumah sendiri. Oleh itu kerajaan memperkenalkan jaminan sebanyak RM2 bilion iaitu yang dijamin oleh bank walaupun tiada slip gaji untuk membeli rumah sendiri," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau memang memahami aspirasi dan kehendak golongan belia kerana sebelum menyertai politik beliau sendiri pernah terlibat secara langsung dengan golongan itu dengan menyertai pertubuhan belia selepas menamatkan pengajian di universiti.
"Jadi saya faham apa kehendak belia dan apa keperluan belia kepada kerajaan. Saya faham dan jawatan menteri pertama yang saya sandang adalah Menteri Belia dan Sukan.
"Jadi percayalah perdana menteri ini asalnya daripada persatuan belia dan kementerian belia, jadi tentu sahaja saya memahami aspirasi anak-anak muda dan persatuan-persatuan belia," katanya.
Sementara itu, perdana menteri berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk meneliti setiap cadangan yang dikemukakan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha untuk manfaat golongan belia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial