MELAKA, 20 Nov -- Pelaksanaan prosedur pengundian berjalan lancar setakat ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan pengundi, bertepatan dengan norma baharu ketika perang melawan COVID-19 masih belum selesai.
Tinjauan Bernama mendapati Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini sempat melawat dua pusat pengundian bagi meninjau kelancaran prosedur mengundi tersebut dan pematuhan SOP oleh pengundi.
Tiba pada 10.15 pagi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh, beliau meluangkan masa hampir 20 minit melawat saluran-saluran pengundian dan menyantuni pengundi serta petugas-petugas SPR di pusat mengundi itu.
Beliau juga sempat meninjau khemah pusat mengundi khas yang disediakan bagi pengundi bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius.
Abdul Ghani juga meluangkan masa selama 30 minit 'turun padang' di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil di sini dan berpuas hati dengan kelancaran prosedur pengundian dan pengurusan SPR bagi mengelakkan kesesakan terutama apabila terdapat jumlah pengundi yang ramai pada satu-satu masa.
Kedua-dua pusat pengundian berkenaan juga tenang dan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Pengundi diingatkan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.
Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.
Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial