EKONOMI

PROGRAM AI BAGI UNIVERSITI RAPAT JURANG ANTARA KEPERLUAN INDUSTRI DAN BEKALAN TENAGA KERJA - MIDA

30/11/2021 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Program Kecerdasan Buatan (AI) bagi Universiti (A14U) yang dilancarkan semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini untuk menambah baik kualiti pendidikan merupakan bukti komitmen berterusan Malaysia dalam merapatkan jurang antara keperluan industri dan bekalan tenaga kerja muda tempatan. 

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata program AI4U itu merupakan satu inisiatif yang disasarkan untuk memperkenalkan “visi mesin berasaskan AI” kepada komuniti universiti. 

“Sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia mempersiapkan negara dan golongan belianya bagi masa depan, program itu menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk memajukan ekonomi digital, menormalkan pendigitalan bagi pembangunan inklusif, mempercepat penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta memanfaatkan teknologi baru muncul,” katanya dalam satu kenyataan.

Program AI4U, yang dilancarkan secara maya semalam dianjurkan oleh MIDA secara kerjasama dengan Intel Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Acara itu merupakan kesinambungan daripada program perintis Kecerdasan Buatan bagi PKS (AI4S) Intel yang dilancarkan pada Januari 2021.

Program AI4U itu dijangka memberi manfaat kepada graduan muda dan golongan kurang berkemampuan menerusi latihan tekninal dan pendidikan vokasional.  

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahan MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata ia memberikan penekanan kepada kepentingan memupuk budaya minda AI dalam kalangan graduan universiti terutamanya mereka yang bukan dari latar belakang sains komputer.

“Saya yakin inisiatif ini yang dibangunkan MIDA, Intel dan MPC akan berfungsi sebagai pemangkin kepada universiti dan pusat pendidikan tempatan untuk melahirkan generasi baharu rakyat Malaysia yang celik AI dalam usaha menggerakkan negara ke arah mencapai Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).  

“MIDA telah meningkatkan usahanya mempersiapkan tenaga kerja tempatan bagi pekerjaan masa depan, mengukuhkan kelebihan daya saing negara untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan. 

“Sebagai agensi penggalakan dan pembangunan pelaburan utama kerajaan, MIDA bekerjasama dengan institusi akademik, penggubal dasar dan pemain industri untuk melaksanakan inisiatif yang akan memacu kemahiran yang betul dan penggredan teknologi berterusan bagi tenaga kerja tempatan,” katanya. 

Pengarah Urusan Intel Malaysia Aik Kean (AK) Chong berkata Intel akan menyokong program tersebut dengan meletakkan asas bagi pelaksanaan modul-modul ini termasuk melatih pensyarah.

“Program AI4U itu merupakan satu lagi inisiatif kerjasama antara Intel, MIDA dan MPC untuk mempersiapkan tenaga kerja masa depan kita bagi dunia AI, selepas pelancaran program AI4S dan AI bagi Belia (AI4Y). 

“Ianya satu penghormatan untuk bekerjasama dengan MIDA dan MPC bagi menangani jurang AI di Malaysia dan menerusi program seperti AI4U, kami berharap dapat membawakan teknologi dan pengetahuan AI kepada semua pelajar tanpa mengambil kira pengkhususan mereka, sebagai sebahagian daripada keseluruhan matlamat kami untuk menyediakan kepada lebih ramai penduduk dengan kemahiran AI,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata AI4U merupakan program susulan daripada kejayaan program AI4S. 

“Sebagai rakan operasi projek AI4U  ini, MPC akan menguruskan seluruh proses latihan dengan sokongan teknikal daripada Intel,” katanya.

Majlis pelancaran maya itu turut disertai lima universiti awam dan swasta iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan