AM

Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Muslimin jalin kerjasama tubuh Tabung Cakna Armalah

02/12/2021 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis  -- Yayasan Waqaf Malaysia menjalin kerjasama dengan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad (Yayasan Muslimin) untuk menubuhkan Tabung Cakna Armalah bertujuan membantu golongan ibu tunggal.

Armalah adalah istilah bahasa Arab merujuk kepada golongan janda atau ibu tunggal sama ada akibat perceraian atau kematian suami.

Kerjasama penubuhan tabung itu ditandatangani oleh Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia Datuk Selamat Paigo dan Pengerusi Yayasan Muslimin Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz di sini hari ini.

Majlis menandatangani kerjasama itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Idris dalam ucapannya berkata penubuhan tabung itu adalah usaha dan inisiatif nilai tambah kepada produk-produk sedia ada Yayasan Waqaf Malaysia yang meletakkan golongan armalah sebagai sasaran penerima sekali gus menjaga kepentingan ibu tunggal dalam usaha memiliki kehidupan lebih baik.

Beliau berkata melalui kerjasama itu, beberapa perkara akan dilaksanakan iaitu program pendanaan melalui tabung itu serta pelaksanaan sinergi program pemerkasaan kehidupan ibu tunggal melibatkan segmen pendidikan, bantuan perniagaan dan keperluan hidup asasi, selain menyantuni armalah dalam golongan orang kurang upaya (OKU).

“Dalam kerjasama ini, Yayasan Waqaf Malaysia akan menguruskan dana bagi tabung yang diwujudkan. Terimaan dana melalui tabung ini akan dikawal selia oleh sebuah jawatankuasa bersama bagi memastikan setiap pelaksanaan program dan pengagihan yang dilaksanakan adalah telus.

“Yayasan Muslimin pula akan merangka program cakna armalah yang memberi impak dan signifikan kepada golongan armalah yang terjejas dan memerlukan. Program-program yang akan dihasilkan itu menjurus kepada usaha mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka (armalah) di samping membantu insan di sekeliling mereka yang turut terkesan sama,” katanya.

Sementara itu, Selamat pada sidang media berkata untuk fasa pertama, pihaknya menyasarkan sumbangan sebanyak RM180,000 bagi membantu 60 orang ibu tunggal di Lembah Klang.

“Untuk pelancaran pagi ini adalah fasa yang pertama dengan kita bermula di Lembah Klang dahulu. Selepas kita lihat kejayaan, insya-Allah kita akan luaskan kutipan ke seluruh negara,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Tabung Cakna Armalah, orang ramai boleh melayari portal rasmi Yayasan Waqaf Malaysia di www.ywm.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan