AM

Mangsa banjir dikecualikan bayaran ganti LKM, LMM dan VOC

21/12/2021 08:57 PM

PUTRAJAYA, 21 Dis -- Mangsa banjir diberi pengecualian daripada membayar yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), kata  Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata tiada tempoh ditetapkan bagi mangsa menggantikan dokumen berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai urusan penting lain seperti menguruskan rumah dan keluarga.

Wee berkata mangsa banjir yang ingin mendapatkan pengecualian berkenaan perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

“Tidak perlu tergesa-gesa untuk melakukan urusan ini. Saya minta JPJ membantu mereka yang terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter mobil JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics dan Transport (KiLAT) di sini, hari ini.

Kadar bayaran yang ditetapkan JPJ bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

Beliau berkata agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) antaranya JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Laut Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan