AM

COVID: Kes baharu terus meningkat kepada 3,684 hari ini

13/01/2022 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan -- Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,684 kes berbanding 3,198 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,798,917 setakat 12 tengah hari tadi.

Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh dua minggu sejak 30 Dis lepas yang mencatatkan 3,997 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula mencatat 3,292 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,726,891 kes.

“Daripada 3,684 kes harian dilaporkan hari ini, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,650 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 192 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 91,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lapan kluster baharu turut dikenal pasti dengan 178 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilapor setakat 3 petang ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan empat kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi dua kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan dua kes penyakit kulit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan